KUANTAN: Kerajaan Pahang menjelaskan bahawa dakwaan berhubung isu pertikaian tanah yang dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran adalah tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kenyataan yang tular tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes itu.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memelihara kebajikan, hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).
"Sebarang isu atau pertikaian yang timbul akan ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berhubung isu di Kampung Cot, Maran, beliau berkata, penempatan itu adalah sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan JAKOA.
Berdasarkan rekod JAKOA, katanya, sebanyak 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan sendiri oleh mereka kepada jabatan itu.
"Pada masa sama, tanah berkenaan dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.
"Bagi menangani isu yang timbul, JAKOA sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terbabit bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang sudah menerima kelulusan itu.
"Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA," katanya.
Dalam sesi perbincangan itu, Syed Ibrahim berkata, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan adalah tanah adat mereka.
Bagaimanapun, katanya, dakwaan terbabit tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada.
"Rekod juga menunjukkan mereka sudah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 12.14 hektar (30 ekar) tanpa kebenaran yang sah.
"Untuk makluman, enam penama Orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta PTG, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama terbabit," katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri menegaskan bahawa isu itu diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan.
Katanya, setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan kepada peruntukan undang-undang, fakta serta prinsip keadilan di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri.
"Kerajaan negeri berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.
"Sebaliknya, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati," katanya. #beritaharian
http://www.pahangdaily.blogspot.com