by Oh! Semput
Satu hantaran promosi Converse Malaysia mencetuskan kontroversi selepas visual yang digunakan menerima kritikan daripada pengguna media sosial di luar negara.
Antara visual yang dipersoalkan memaparkan seorang model berpakaian putih berdiri di bawah pencahayaan berbentuk bintang, manakala sepasang kasut Converse kelihatan tergantung di bahagian atas gambar.
Sesetengah pengguna media sosial mendakwa kombinasi pakaian putih serta kasut yang tergantung itu mengingatkan mereka kepada imej berkaitan Ku Klux Klan (KKK) dan sejarah lynching terhadap masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat.
Seorang pengguna Threads secara terbuka menyifatkan visual berkenaan sebagai “lynching imagery” dan menegaskan lokasi asal kempen itu di Malaysia tidak mengubah tanggapannya terhadap gambar tersebut.

Kontroversi itu kemudian semakin mendapat perhatian apabila beberapa pengguna lain turut menemui bahan promosi Converse yang menunjukkan kasut tergantung pada pokok, sekali gus mengundang tafsiran serupa.
Laporan media antarabangsa turut merekodkan kritikan terhadap kempen berkenaan, termasuk daripada pelakon Amerika Syarikat, Yvette Nicole Brown, yang mempersoalkan sama ada visual itu menyerupai lynching serta pakaian KKK. Setakat laporan berkenaan diterbitkan, Converse masih belum memberikan respons rasmi terhadap kontroversi tersebut.

Bagaimanapun, tidak semua pengguna media sosial bersetuju dengan tafsiran berkenaan.
Ada yang berpandangan konteks budaya perlu diambil kira memandangkan visual itu diterbitkan untuk pasaran Malaysia dan kemungkinan besar tidak mempunyai kaitan dengan sejarah perkauman di Amerika Syarikat.


Seorang pengguna Threads turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa mendapatkan keseluruhan konteks, namun berpendapat jenama antarabangsa tetap perlu lebih berhati-hati ketika menilai sesuatu visual sebelum ia diterbitkan kepada umum.
Perdebatan itu kini tertumpu kepada persoalan sama ada kempen tempatan perlu mengambil kira sensitiviti sejarah negara lain, terutama apabila kandungan media sosial boleh tersebar ke seluruh dunia dalam tempoh singkat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Iklan Converse Malaysia Dikecam ‘Mat Saleh’ Luar Negara, Visual Didakwa Mirip KKK & Keganasan Kaum first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.