Individu tanggungjawab rugikan Tabung Haji akan dihadapkan ke mahkamah – Anwar

by Oh! Semput


4
SHARES
57
VIEWS
Posted on 29 Jul 2026 15:01:29

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan salah urus di Lembaga Tabung Haji (TH) berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur penyelewengan, penipuan atau salah guna kuasa yang dikenal pasti dalam laporan RCI yang didedahkan kepada umum hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kita akan memastikan semua pihak yang didapati bertanggungjawab diambil tindakan mengikut lunas undang-undang. Tiada siapa yang akan terlepas sekiranya wujud pelanggaran undang-undang,” katanya.

Laporan RCI yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020 itu didedahkan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan akan turut dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan pendedahan laporan berkenaan bagi memberi ruang kepada proses pemulihan kedudukan kewangan dan operasi TH tanpa menjejaskan keyakinan pendeposit.

RCI mengemukakan 25 syor penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus TH, dengan pengurusan institusi itu memaklumkan bahawa 75 peratus daripada syor tersebut telah dilaksanakan, manakala selebihnya sedang dalam proses pelaksanaan.

Pemulihan yang dilaksanakan turut membolehkan TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Krisis kewangan TH mula mendapat perhatian apabila semakan pada akhir 2017 mendapati nilai aset institusi itu berjumlah RM70.3 bilion, lebih rendah berbanding liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

Susulan itu, kerajaan pada 2018 melaksanakan pelan pemulihan dengan memindahkan aset bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) menerusi suntikan sukuk bernilai RM19.6 bilion serta RM300 juta tunai bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.

Pada 2021, kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu yang berlaku antara 2014 hingga 2020, sebelum laporan akhir diterima pada 2022.

Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju menyahklasifikasikan laporan tersebut, selain mengarahkan siasatan penuh diteruskan serta-merta oleh agensi penguat kuasa berdasarkan segala dapatan yang terkandung dalam laporan RCI itu.

Individu tanggungjawab rugikan Tabung Haji akan dihadapkan ke mahkamah – Anwar first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts