by Oh! Semput
KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang menjalankan siasatan susulan kemalangan melibatkan sebuah lori tangki membawa asid hidroklorik (HCL) berhampiran Jambatan Cherating di sini, semalam.
JAS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 8.45 pagi sebelum pasukan penguat kuasa digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan, siasatan serta penilaian awal terhadap kemungkinan impak kepada alam sekitar.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati sebuah lori tangki membawa produk asid hidroklorik dengan muatan sebanyak 24,960 kilogram telah mengalami kemalangan jalan raya.
“Lori tersebut dalam perjalanan dari Pasir Gudang ke Kemaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya menutup venting line di bahagian belakang tangki sekali gus mengelakkan tumpahan lebih besar berlaku.
“Anggaran tumpahan adalah kira-kira 1,000 liter dan telah dineutralkan menggunakan Soda Ash. Tiada tumpahan lain dikesan,” katanya.
JAS memaklumkan, lokasi lori tangki terbalik itu berada kira-kira 100 meter dari Sungai Cherating.
Jelasnya, ujian air telah dijalankan di tiga lokasi di kawasan paya bakau sebelum memasuki Sungai Cherating dan bacaan pH didapati normal iaitu pH6.
“Pemantauan bacaan pH menggunakan peralatan YSI di Sungai Cherating pula merekodkan bacaan pH9.4 yang menunjukkan tiada pencemaran asid berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, JAS menegaskan sebarang pelepasan bahan pencemar yang menyebabkan pencemaran alam sekitar serta melanggar peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] akan disiasat secara terperinci.
Katanya, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap peruntukan akta berkenaan.
“JAS akan terus menjalankan pemantauan berkala di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kesan pencemaran berlaku selain memastikan semua langkah kawalan dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan kepada pihak kilang bagi melaksanakan kerja pembersihan serta tindakan susulan yang sewajarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar disaran menyalurkan aduan kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, sistem e-Aduan JAS atau saluran rasmi jabatan. #malaysiagazette