Seorang Nelayan OKU Penglihatan Maut Dipukul 2 Lelaki Warga Asing di Tawau

by Oh! Semput


4
SHARES
53
VIEWS
Posted on 13 Jun 2026 11:31:33

Seorang nelayan orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas dipercayai dipukul menggunakan batang pokok bakau dalam satu pertengkaran yang berlaku ketika kerja-kerja pembaikan rumah di Felda Umas, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Mohamad Sukry Mobing, 40, dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, mulut dan hidung dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurut maklumat awal, pertengkaran dipercayai tercetus apabila mangsa ditegur kerana didakwa lambat menyiapkan kerja membaiki rumah milik seorang penduduk di kawasan berkenaan. Keadaan itu kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan sebelum mangsa dipercayai diserang oleh dua lelaki menggunakan batang pokok bakau.

Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kesukaran bernafas di kawasan jeti awam Felda Umas sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Felda Umas untuk mendapatkan rawatan awal.

Bagaimanapun, keadaan mangsa dilaporkan kritikal dan dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut. Mohamad Sukry disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital pada jam 1.35 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan dan maklumat yang diperoleh membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 23 dan 52 tahun di Pulau Bingkulan, Kalabakan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, keterangan saksi yang diperoleh setakat ini menunjukkan insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada pertikaian yang berlaku semasa kerja pembaikan rumah sebelum bertukar menjadi serangan fizikal.

Menurutnya, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tawau bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.

“Punca kematian masih dalam siasatan dan kita sedang meneliti semua aspek berkaitan kejadian termasuk keterangan saksi serta bukti yang diperoleh di lokasi,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala kedua-dua suspek masih ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

Kejadian itu mengundang perhatian masyarakat setempat berikutan mangsa merupakan seorang OKU penglihatan yang dikenali dalam komuniti nelayan di kawasan berkenaan. Polis menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang.

Seorang Nelayan OKU Penglihatan Maut Dipukul 2 Lelaki Warga Asing di Tawau first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts