by Oh! Semput
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia bagi mengenal pasti status, identiti serta latar belakang pemegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.
KDN dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan proses itu merupakan langkah penting bagi memastikan kerajaan mempunyai data yang tepat, sahih dan menyeluruh dalam menguruskan isu pelarian serta cabaran migrasi yang dihadapi negara sejak sekian lama.

Foto: Carian Google
Menurut KDN, Malaysia telah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR sejak berpuluh tahun lalu, namun kerajaan masih berdepan cabaran untuk mendapatkan gambaran lengkap berkaitan jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada dalam negara atas kapasiti tersebut.
KDN menegaskan, sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, setiap dasar serta keputusan berkaitan perkara itu perlu dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan boleh disahkan.
Proses DPP dilaksanakan berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), dengan KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia bertanggungjawab menjalankan proses pendaftaran berkenaan di Semenanjung Malaysia.
Melalui proses itu, kerajaan akan mendapatkan data biometrik dan maklumat identiti lebih terperinci bagi membantu menentukan status, keberadaan serta latar belakang individu yang terlibat.
KDN berkata, maklumat yang diperoleh menerusi DPP akan membantu kerajaan menilai implikasi isu pelarian terhadap aspek keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.
Data tersebut juga akan digunakan bagi memperkemas prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta tindakan penguatkuasaan berkaitan pelarian dan pemegang kad UNHCR.
KDN turut menegaskan bahawa pelaksanaan DPP bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak menetap secara kekal di Malaysia.

Foto: Carian Google
Sebaliknya, proses itu merupakan instrumen kerajaan untuk memastikan pengurusan migrasi negara lebih tersusun serta membolehkan kawalan terhadap isu berkaitan keselamatan diperkukuhkan.
Kementerian itu berkata, prinsip kerajaan dalam menangani isu pelarian adalah jelas iaitu memastikan keselamatan negara terus menjadi keutamaan, selain menguruskan isu berkenaan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
Tambahnya, pengurusan migrasi yang berkesan hanya dapat dilaksanakan apabila kerajaan mempunyai data yang tepat mengenai individu yang berada dalam sempadan negara.
Pelaksanaan DPP dijangka menjadi langkah penting ke arah mewujudkan sistem pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab serta mengambil kira kepentingan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
: Facebook Kementerian Dalam Negeri (KDN)