by Oh! Semput
Pelakon terkenal, Nabila Huda tampil memberikan pandangan berhubung kontroversi drama CELA yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton, khususnya mengenai isu sensitif yang diketengahkan dalam karya tersebut.
Menerusi perkongsian di Instagram, Nabila atau mesra disapa Abil menegaskan bahawa drama berkenaan bukan bertujuan menggalakkan atau menormalisasikan perlakuan salah, sebaliknya mahu membuka mata masyarakat terhadap realiti yang sememangnya berlaku.
Menurutnya, terdapat pelbagai pengajaran yang boleh diambil daripada jalan cerita drama tersebut, terutama mengenai perkara yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat.
Saya harap banyak pengajaran yang korang dapat daripada cerita ini. Benda yang salah, tetap salah. Situasi macam CELA ni memang berlaku di belakang kita. Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang atau mungkin, kita sendiri yang pilih untuk tak nampak.

Dalam pada itu, anak kepada penyanyi legenda Amy Search berkenaan turut menegur sikap segelintir pihak yang mudah menyalahkan drama atau filem apabila timbul isu keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda.
Nabila berpendapat ibu bapa sepatutnya memainkan peranan penting dalam mendidik, memantau serta berkomunikasi dengan anak-anak, bukannya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kandungan hiburan yang ditonton.
Jangan salahkan drama atau filem sebab kononnya boleh mempengaruhi anak-anak, kalau kita sendiri gagal memainkan peranan untuk mendidik, memantau dan berkomunikasi dengan mereka.

Kenyataan tersebut memperlihatkan pendirian Nabila bahawa tanggungjawab mendidik anak-anak tidak seharusnya diserahkan kepada media hiburan semata-mata.
Sebab akhirnya, kalau nak cakap tentang keburukan dan kerosakan akhlak, mungkin kita kena berani tanya diri sendiri dulu. Semuanya datang daripada skrin atau sebenarnya bermula daripada kita sendiri?
Nabila turut meluahkan rasa kecewa sekiranya sesebuah karya seni disekat hanya kerana mengetengahkan isu yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.
Bukan sebab kami tak boleh terima kritikan. Kritikan adalah sebahagian dari dunia seni. Tapi ada perbezaan besar antara mengkritik sesebuah karya dengan menyekat peluang masyarakat untuk menonton, memahami dan menilai karya itu sendiri.
Menurutnya lagi, tindakan sedemikian juga seolah-olah mengetepikan usaha barisan pelakon serta pasukan produksi yang bertungkus-lumus menghasilkan karya tersebut.
Dalam perkongsian sama, Nabila menjelaskan bahawa isu seperti grooming, manipulasi dan trauma yang dipaparkan dalam drama CELA merupakan antara realiti kehidupan yang tidak sepatutnya dipandang ringan.
Dia juga berpandangan masyarakat perlu mengakui kewujudan masalah tersebut dan bukannya menganggap penyekatan karya hiburan mampu menghapuskan isu berkenaan.
Melindungi anak-anak bermula dengan mengakui bahaya yang wujud, bukannya berpura-pura macam benda itu tak berlaku. Menghalang orang daripada menonton sesebuah cerita tak bermakna trauma yang berlaku akan hilang begitu sahaja.
Nabila turut mempersoalkan kecenderungan sesetengah pihak yang menganggap kandungan hiburan sebagai punca utama masalah sosial, sedangkan isu sama mungkin masih berlaku walaupun akses terhadap hiburan disekat.
“Jangan Salahkan Drama Kalau Kita Sendiri Gagal Didik Anak” – Nabila Huda Pertahan Drama CELA first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.