by Oh! Semput
KUANTAN: Seorang wanita buntu apabila menerima Notis Tuntutan (LOD) berjumlah RM91,567 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan kegiatan mencuri bekalan elektrik yang dipercayai dilakukan penyewa rumah miliknya untuk menjalankan perlombongan bitcoin secara haram.
Menurut Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman, 35 yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), rumah jenis berkembar lot sudut miliknya di Cherating itu sebelum ini disewakan kepada seorang lelaki berusia 40-an sejak 1 April 2026.
“Tapi saya betul-betul tak sangka rumah yang saya dah siapkan cantik-cantik sebenarnya dijadikan pusat perlombongan bitcoin secara haram.
“Saya tahu pun selepas diberitahu jiran ketika polis dan pihak TNB datang serbu rumah ini pada 27 September lepas dan barulah tahu ada kegiatan lombong bitcoin di rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya, susulan serbuan itu dia sudah membuat laporan polis pada hari yang sama namun sehingga kini belum ada perkembangan lanjut kerana masih dalam siasatan.
Tambah beliau, setakat ini dia dimaklumkan penyewa berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu ketika berurusan penyewaan rumah berkenaan.
Penyewa tersebut juga bertindak menyekat panggilan yang dibuat oleh Rabiatul Adawiyah.
Mengulas lanjut, Rabiatul Adawiyah mendakwa, penyewa itu datang sendiri berjumpa dia dan keluarga ketika urusan pembayaran deposit sewa bagi rumah terbabit.
Katanya, keadaan di luar rumah yang kelihatan terurus, termasuk selipar dan kasut yang tersusun di hadapan rumah serta halaman yang dijaga rapi, memberi gambaran seolah-olah kediaman itu dihuni sebuah keluarga.
Malah, ujarnya, penyewa terbabit juga tidak pernah culas membayar sewa bulanan sebanyak RM850 yang dilakukan menerusi transaksi mesin deposit wang (CDM).
“Saya pula kena ‘stroke‘ pada 12 Mei lepas kerana saluran pembuluh darah pecah dalam kepala dan menjejaskan saraf, selain masalah buah pinggang.
“Jadi, saya memang terbaring sahaja dalam tempoh tiga bulan dan tinggal sementara di rumah mak saya.
“Jadi, memang tak sempat nak pantau, uruskan tukar nama dalam bil elektrik dan sebagainya. Dengan nak uruskan tiga anak yang semuanya bersekolah. Suamilah banyak bantu saya sehinggakan dia terpaksa berhenti kerja,” luahnya lagi.
Selain LOD itu, beliau juga terpaksa menanggung beban memulihkan semula rumah yang rosak akibat diubahsuai untuk kegiatan lombong bitcoin.
Menurut wanita ini, dalam keadaan kesihatannya, dia tidak lagi boleh bekerja tetap di warung menjual makanan.
Dia dan suaminya hanya memperoleh pendapatan melalui kerja sampingan berniaga dan menghantar makanan sekitar RM1,000 sebulan.
“Tak kan saya nak kena jual rumah ni untuk selesaikan hutang yang orang lain buat. Saya rasa betul-betul teraniaya.
“TNB sudah beri pilihan sama ada bayar jumlah itu secara ansuran selama tempoh lima tahun iaitu RM1,500 sebulan atau RM3,500 sebulan selama tempoh 18 bulan. Saya perlu beri keputusan pada awal bulan November ni,” katanya.
Rabiatul Adawiyah yang mengakui pilihan yang diberi itu membuatnya tertekan sehingga menjejaskan tahap kesihatannya.
Justeru, dia dan suami, Mohd Noralif Safuan Mohd Haslan, 37 berharap agar permasalahan yang dihadapi mereka mendapat perhatian pihak-pihak berkaitan dan menemui jalan penyelesaian yang sewajarnya. #MalaysiaGazette