by Oh! Semput
Program Jelajah Wira LTAT 2026 melabuhkan tirai selepas berjaya memperluas capaian perkhidmatan serta pelbagai inisiatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada lebih 28,500 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan secara fizikal dan digital di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Edisi Pantai Timur yang berlangsung di Pangkalan TUDM Kuantan itu melengkapkan siri jelajah LTAT ke seluruh negara, sekali gus merekodkan keseluruhan lebih 45,000 warga ATM yang disantuni sepanjang tempoh pelaksanaan program dari 2023 hingga 2026.
Majlis penutupan Jelajah Wira LTAT 2026 disempurnakan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, yang turut menyaksikan pelbagai inisiatif berkaitan kebajikan, pembangunan kerjaya, pendidikan serta literasi kewangan untuk warga ATM dan keluarga mereka.
Ketua Eksekutif LTAT, En. Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, kesejahteraan warga ATM merupakan sebahagian daripada kekuatan menyeluruh ekosistem pertahanan negara.
Beliau berkata, LTAT akan terus memainkan peranan melalui mandat pelaburan dan syarikat kumpulan bagi memastikan setiap pelaburan strategik dilaksanakan secara berdisiplin dengan mengambil kira pertimbangan komersial yang kukuh serta tadbir urus yang jelas.

Fokus utama Jelajah Wira LTAT adalah memperkukuh tahap literasi kewangan dalam kalangan warga ATM menerusi Program Taklimat Pencarum dan Literasi Kewangan LTAT yang diperkenalkan pada Disember 2023.
Program yang dibangunkan secara dalaman itu kini telah mendekati hampir 70,000 anggota ATM menerusi siri taklimat dan sesi libat urus di kem-kem ATM seluruh negara.
Pengisian program memberi penekanan terhadap aspek simpanan persaraan, pengurusan kewangan peribadi, kawalan hutang, perlindungan sosial serta perancangan masa depan bagi membantu pencarum membuat keputusan kewangan secara lebih teratur dan berdisiplin.
Selain itu, Jelajah Wira LTAT 2026 turut menjadi platform pelancaran Program Kem Santuni MADANI 2026 dengan peruntukan sebanyak RM600,000.
Inisiatif berteraskan kebajikan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 6,500 keluarga ATM di kem-kem terpilih.
Dalam perkembangan sama, prestasi pelaburan dan keadaan ekonomi negara yang semakin berkembang positif, LTAT disasarkan untuk terus meningkatkan keupayaan kewangannya sekali gus membuka ruang kepada pemberian kadar dividen yang lebih baik kepada pencarum pada masa hadapan.

Mohamed Khaled berkata, penentuan kadar dividen LTAT bergantung kepada prestasi kewangan semasa, termasuk keuntungan yang diperoleh daripada portfolio pelaburan serta syarikat-syarikat di bawah kumpulan LTAT.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan pengurusan LTAT untuk terus memperkukuhkan prestasi operasi dan pelaburan agar mampu memberikan pulangan terbaik kepada pencarum.
Menurutnya, LTAT berjaya mengekalkan kadar dividen sekurang-kurangnya lima peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mencerminkan keupayaan dana persaraan anggota tentera itu untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Mengulas mengenai agenda pembangunan Angkatan Masa Hadapan, Khaled berkata perancangan berkenaan memberi fokus kepada pengukuhan kesepaduan operasi melibatkan tiga cabang utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau, usaha tersebut turut merangkumi aspek pemantapan latihan, penerapan teknologi terkini serta pemodenan aset pertahanan negara bagi memastikan ATM kekal bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Beliau berkata, ATM ketika ini mempunyai kira-kira 110,000 anggota, manakala pengambilan anggota baharu diteruskan secara berterusan setiap tahun bagi memenuhi keperluan kekuatan perjawatan.
Dalam masa sama, Khaled turut menegaskan kepentingan aspek kebajikan warga ATM dengan menggesa Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) meneruskan usaha menawarkan harga barangan keperluan yang lebih rendah bagi membantu meringankan tekanan kos sara hidup dalam kalangan anggota tentera serta keluarga mereka.
Sementara itu, Pengurus Besar PERNAMA, Mat Rostam Mat Abas berkata pihaknya kini menjalankan Program Jualan Jimat Istimewa selama 10 hari pada setiap minggu gaji, selain sedang mempertimbangkan langkah memperluaskan tempoh pelaksanaan program tersebut.

Beliau berkata, anggota tentera dan veteran yang berdaftar menerusi aplikasi PERNAMA layak menikmati harga khas selain memperoleh mata ganjaran yang boleh digunakan sebagai bayaran bagi pembelian pada masa akan datang.
Menurutnya, bagi urusan pembelian harian, pengguna boleh menikmati penjimatan antara tiga hingga 15 peratus, manakala menerusi Program Jualan Jimat Istimewa, kadar penjimatan boleh mencapai sehingga 40 peratus bergantung kepada nilai pembelian barangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Program Jelajah Wira yang dilaksanakan melalui kerjasama Royal Chulan Kuala Lumpur turut memberi ruang kepada veteran ATM dan anggota yang sedang berada dalam fasa peralihan perkhidmatan untuk meneroka peluang kerjaya baharu.

Program pembangunan kerjaya selama enam bulan itu menerima sebanyak 184 permohonan, sebelum 14 peserta dipilih menyertai kohort pertama. Daripada jumlah tersebut, sembilan peserta berjaya menamatkan latihan dan kini menjalani latihan industri di beberapa hotel sekitar Shah Alam, Seremban, Kuala Lumpur serta lokasi lain di seluruh negara.
Sepanjang tempoh program, peserta diberikan pendedahan terhadap pelbagai kemahiran dalam bidang hospitaliti melibatkan beberapa jabatan utama, selain berpeluang ditawarkan jawatan tetap sekiranya berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang latihan.
Majlis penutup Program Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur hari ini turut menyaksikan pelancaran Program Kem Santuni MADANI 2026 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM600,000.
Inisiatif yang memfokuskan kepada kebajikan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 6,500 keluarga ATM di enam lokasi, iaitu Kem Desa Pahlawan, Kelantan; Pangkalan Udara Kuantan, Pahang; Kem Seri Pantai, 18 RAMD (Para), Terengganu; Kem Sungai Udang, Melaka; serta KD Sultan Ismail dan Kem Mahkota Kluang di Johor.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyerahan Surat Tawaran Pekerjaan Veteran MyWIRA Kohort Pertama dan penyerahan peranti kepada peserta Program e-Perkasa SPM 2026.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (B); Ketua Setiausaha MINDEF merangkap Timbalan Pengerusi LTAT, Datuk Lokman Hakim Ali; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad yang mewakili Panglima Tentera Darat; serta Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Dato’ Masro Kaliwon TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara.