by Oh! Semput
Honor Choice Kumi Ai Note ialah perakam audio pintar berbentuk kad yang nipis dengan ketebalan hanya 2.89mm dan berat 30 gram. Ia juga menawarkan fungsi lebih canggih berbanding perakam suara biasa. Malah, reka bentuk magnetiknya membolehkan ia dilekatkan pada telefon pintar atau disimpan di dalam dompet dengan mudah.

Ia juga bukan sekadar peranti rakaman suara biasa. Sebaliknya, ia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menukar rakaman audio kepada teks dengan ketepatan sehingga 98%. Ini bermakna setiap perbualan yang dirakam boleh terus ditukar menjadi teks yang hampir sama dengan apa yang diucapkan.

Selain itu, ia dilengkapi dengan ciri pengecaman suara individu. Jika terdapat ramai orang bercakap, AI dapat membezakan setiap pembicara dan melabelkannya dalam transkripsi. Seterusnya, AI mampu menghasilkan ringkasan serta peta minda yang menjadikan isi pnting lebih mudah difahami. Lebih menarik lagi, peranti ini menyokong lebih daripada 130 bahasa lalu menjadikannya sesuai digunakan dalam pelbagai situasi.

Peranti ini turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 130mAh yang mampu merakam secara berterusan sehingga 24 jam. Selain itu, ia menyokong pemindahan fail pantas melalui Wi-Fi, di mana rakaman selama 5 jam boleh dipindahkan dalam masa hanya 30 saat. Bagi yang berminat, Honor Choice Kumi Ai Note ditawarkan di Malaysia pada harga RM699.