by Oh! Semput
Pelakon Didie Alias menafikan dakwaan dirinya kini bermasam muka dengan rakan baiknya yang juga aktres, Amyza Aznan.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali, 54, berkata, sudah berbulan-bulan dia tidak menghubungi Amyza, namun keadaan itu bukan disebabkan pergaduhan antara mereka.
“Berbulan sudah (kali terakhir hubungi dia). Bergaduh? Nak bergaduh kenapa?”
Menurut Didie, dia dan Amyza kini sibuk dengan kerjaya serta komitmen masing-masing menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk berjumpa seperti dahulu.
“Saya sudah lama tidak berjumpa dengan dia (Amyza) sebab kami sibuk. Untuk perkembangan suami dia, rasanya saya hanya melihat melalui media sosial sahaja.
“Kami tidak bergaduh, masing-masing ada kerjaya sendiri dan perkara yang perlu dilakukan.
“Cuma sekarang ini saya banyak fokus kepada keluarga saya dan tidak mahu campur urusan keluarga orang lain,” katanya dalam temu bual bersama Melodi.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada dirinya berkecil hati dengan keadaan persahabatan mereka, Didie memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Sebaliknya, pelakon drama Cukup Derita Itu itu mengakui kini lebih selesa mengecilkan lingkaran persahabatannya demi menjaga hati sendiri.
“Tidak tahulah, saya rasa selepas ini saya kena kecilkan ‘circle’ saya. Kalau nak kawan dengan saya kawanlah.
“Siapa tidak mahu kawan dengan saya lantak awaklah. Saya rasa macam diri ini bila diperlukan, dicari.
“Kalau tidak lantaklah, awak punya fasal lah,” ujarnya.
Didie berkata, dia kini lebih banyak beramah mesra dengan rakan-rakan industri ketika berada di lokasi penggambaran sahaja tanpa terlalu membawa hubungan tersebut ke luar waktu kerja.
“Sekarang pun ‘circle’ saya sudah kecil. Saya hanya jumpa kawan-kawan di set penggambaran saja.
“Tidak seperti dulu lepak. Tidak mahu (persahabatan) itu terlalu mendalam sebab nanti saya yang kecewa, rasa macam terhegeh-hegeh pula,” luahnya.
Tambah Didie, dia merupakan seorang yang setia dalam persahabatan, namun tidak teragak-agak untuk menutup pintu hatinya apabila berasa dirinya dikhianati.
“Mungkin ayat angkat kaki itu betul. Maksudnya bila saya berbuat demikian saya sudah tidak mahu mengambil tahu apa yang jadi dengan orang itu kecuali jika Allah SWT buka semula hati saya.
“Saya kalau sayang orang, saya akan sayang sepenuhnya tapi bila hati sudah tertutup, saya tidak mahu ambil tahu.”
Menurutnya, apa yang dilakukannya terhadap sahabat bukan bertujuan mendapatkan balasan, sebaliknya kerana menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
“Masalahnya kita terlalu baik dengan orang, tapi mereka tak hargai apa yang kita buat. Saya buat bukan untuk dapat balasan tetapi simpati sebagai keluarga dan kawan,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Didie sering dilihat menemani Amyza terutama ketika sahabatnya itu melalui fasa sukar, termasuk selepas anak sulung Amyza, Andre Mikhail, meninggal dunia pada Februari lalu.
Bagaimanapun, selepas tempoh berkenaan, kelibat kedua-dua sahabat itu semakin jarang dilihat bersama sehingga menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen mengenai hubungan mereka.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
“Tak Nak Kawan Dengan Saya Lantaklah…” – Didie Alias Ulas Status Hubungan Dengan Amyza Aznan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.