Pekerja Maut Selepas Terjatuh 7 Meter Dari Perancah Di Tapak Pembinaan

by Oh! Semput


4
SHARES
50
VIEWS
Posted on 06 Sep 2026 04:30:46

Seorang pekerja maut selepas dipercayai terjatuh dari perancah pada ketinggian kira-kira tujuh meter ketika menjalankan kerja-kerja merombak struktur perancah di sebuah tapak pembinaan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kelmarin.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menerima pemberitahuan berhubung kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari itu.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika sedang menuruni perancah untuk berehat dan makan tengah hari. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Susulan kejadian itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan Arahan Menghentikan Aktiviti Kerja serta Larangan Kacau Ganggu di kawasan berkenaan. Tindakan tersebut bertujuan memastikan lokasi kejadian dipelihara dan tidak diganggu sepanjang proses siasatan dijalankan.

JKKP turut mendapatkan keterangan daripada pihak majikan dan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, selain meneliti sama ada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak berkenaan telah dipatuhi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15, 18A dan 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), selain peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

JKKP menegaskan tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pekerja Maut Selepas Terjatuh 7 Meter Dari Perancah Di Tapak Pembinaan first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts