Keadaan Jeti Nelayan Sungai Belat Kini Tidak Selamat, MB Pahang Luluskan Peruntukkan RM30,000 Serta Merta Untuk Kerja Baik Pulih

by Oh! Semput


4
SHARES
49
VIEWS
Posted on 06 Aug 2026 20:02:04

KUANTAN: Keadaan Jeti Nelayan Sungai Belat di Kampung Belukar di sini yang tidak selamat mendapat perhatian segera Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang  meluluskan peruntukan RM30,000 serta-merta bagi kerja-kerja membaik pulih kemudahan itu.

Kelulusan segera itu diumumkan selepas beliau sendiri meninjau keadaan jeti berkenaan ketika menghadiri Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Inderapura di Kampung Belukar petang semalam.

Menurut Wan Rosdy, keputusan itu dibuat tanpa berlengah selepas melihat sendiri keadaan fizikal jeti yang digunakan nelayan dan penduduk setempat.

“Ya, peruntukan diluluskan serta-merta kerana tengok keadaannya tidaklah begitu baik, tidak begitu selamat dan perlu dibaiki.

“Tadi Tok Empat minta RM30,000, jadi Tok Wan luluskan RM30,000 untuk kerja-kerja baik pulih,” katanya.

Wan Rosdy berkata, pendekatan turun padang memberi ruang kepada kerajaan negeri mengenal pasti sendiri isu sebenar di lapangan sekali gus membolehkan tindakan segera diambil terhadap perkara yang memerlukan perhatian.

Katanya, sepanjang lawatan semalam beliau dibawa menyusuri Sungai Belat dengan menaiki bot oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif sebelum bertemu penduduk bagi mendengar sendiri pelbagai isu yang dibangkitkan.

“Apabila kita turun sendiri ke kawasan, kita bukan sahaja dapat melihat keindahan alam sekitar malah dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

“Ada perkara yang boleh diluluskan terus manakala ada juga yang memerlukan penelitian lanjut oleh jabatan berkaitan sebelum dipertimbangkan,” katanya.

Program Jelajah Aspirasi Pahang itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar, barisan ketua jabatan negeri serta pemimpin masyarakat setempat.

Selain sesi dialog bersama penduduk, Wan Rosdy turut meluangkan masa beramah mesra termasuk bermain dam  bersama penduduk serta menikmati jamuan  di atas rakit.

Wan Rosdy juga sempat menyantuni kanak-kanak di kawasan komuniti berkenaan selain bertanya khabar penduduk dan teruja sambutan penduduk Kampung Belukar.

Beliau juga mengakui pendekatan mendekati rakyat secara langsung sebagai antara kaedah terbaik memastikan setiap keperluan masyarakat dapat diberi perhatian dan diselesaikan dengan lebih berkesan. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts