by Oh! Semput
Seorang penggodam yang dikenali sebagai Jordy menerima ganjaran AS$50,000 daripada Sony selepas melaporkan kelemahan kritikal pada hypervisor PlayStation 5 (PS5). Dia mendakwa kelemahan itu ditemui dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) generatif.
Menurut IGN, laporan tersebut dihantar melalui program bug bounty PlayStation di platform HackerOne pada 15 September 2026. Jordy, yang menggunakan nama 2tonejordy di HackerOne, mendedahkan bayaran itu menerusi X pada 14 Oktober.
https://x.com/couldbeautism/status/2110222993960194422?a=kHAtOXX_yUV1N1_fqig&s=20
AS$50,000 merupakan ganjaran maksimum program tersebut untuk kelemahan kategori kritikal. Berdasarkan rekod HackerOne yang dipetik media, hanya seorang pengguna lain pernah menerima jumlah yang sama dalam tempoh tiga tahun.
Hypervisor ialah lapisan keselamatan asas PS5 yang mengawal akses kepada perkakasan konsol. Kelemahan ini dilaporkan menjejaskan perisian tegar (firmware) PS5 versi 13.60 hingga 14.00.
Jordy bagaimanapun bukan orang pertama yang menemui kelemahan tersebut. Menurutnya, jurutera keselamatan Google, Andy Nguyen atau theflow0, telah menemui pepijat yang sama lebih awal dan memintanya supaya tidak melaporkan kelemahan itu kepada Sony.
Jordy mendakwa dia pada mulanya bersetuju. Dia kemudian mengubah keputusan selepas seorang lagi individu turut menemui kelemahan yang sama menggunakan AI beberapa jam kemudian.
“Jika saya dan seorang lagi boleh menemuinya menggunakan LLM, orang lain juga boleh,” katanya kepada IGN.
Nguyen sebelum ini menggunakan kelemahan tersebut untuk projek menjalankan Linux pada PS5, yang dipamerkannya pada Mac lalu. Dia dilaporkan merancang untuk merahsiakan pepijat itu sehingga selepas GTA 6 dilancarkan.
Dengan cara itu, pengguna boleh mengemas kini konsol untuk bermain permainan tersebut dan masih boleh menjalankan Linux. Pada 15 September, Nguyen mengumumkan dia berundur daripada komuniti PS5 dan menghentikan semua kerja berkaitan PS5 Linux.
Setakat ini, Sony belum mengesahkan sama ada kelemahan tersebut telah ditampal. Syarikat itu melancarkan beberapa kemas kini firmware sejak September, termasuk versi 14.00 pada 16 September dan 14.10 pada 1 Oktober, tanpa menyatakan exploit yang disasarkan.
Perkembangan ini berlaku menjelang pelancaran GTA 6 pada 19 November. Jordy dan penyelidik keselamatan siber Eric Parker masing-masing memberitahu IGN bahawa mereka menjangkakan kelemahan hypervisor baharu akan ditemui pada masa hadapan.
{suggest}
Guna AI Cari Kelemahan PS5, Penggodam Terima AS$50,000 Daripada Sony WISER.MY.