by Oh! Semput
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperkenalkan versi kecerdasan buatan (AI) dirinya sendiri dalam masa terdekat bagi membolehkan orang ramai berinteraksi dengannya secara digital.
Memetik laporan Bloomberg, avatar AI yang dinamakan PMX AI itu dibangunkan oleh Zetrix AI, sebagai simbolik kepada kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
PMX AI dilatih menggunakan penulisan, ucapan serta rekod dasar kerajaan Anwar supaya cara ia bercakap, termasuk suara dan gaya penyampaiannya, menyerupai beliau. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix, TS Wong, sistem itu turut menggunakan model “personal knowledge” yang sentiasa dikemas kini dengan ucapan dan kenyataan terbaharu Perdana Menteri bagi memastikan respons yang diberikan sentiasa relevan dan tepat.
Keunikan PMX AI terletak pada keupayaannya bertindak secara autonomi. Ia dibangunkan sebagai AI berasaskan ejen (agentic AI), yang mampu menerima sesuatu tugasan, memecahkannya kepada beberapa langkah dan melaksanakannya sendiri tanpa memerlukan pemantauan manusia secara berterusan.
Apabila dilancarkan kelak, PMX AI disasarkan membantu rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan. Antaranya termasuk memudahkan proses pembaharuan lesen memandu, menghantar pautan pembayaran dan mengesahkan transaksi sebelum meneruskan ke langkah seterusnya. Ia juga boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selain memahami dialek tempatan serta bahasa harian.
Selain itu, PMX AI turut direka untuk membantu pengguna mengenal pasti program latihan kerajaan dan peluang pekerjaan yang bersesuaian berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui perbualan. Bagi pelajar pula, sistem itu dijangka mampu mencadangkan kursus serta laluan kerjaya mengikut minat dan kebolehan masing-masing.
Malaysia bukanlah negara pertama memperkenalkan konsep sedemikian. Sebelum ini, pemimpin seperti Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung turut menggunakan teknologi AI dalam komunikasi awam masing-masing.
Sehingga itu, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi PMX AI yang dijangka berlangsung dalam beberapa hari lagi.
{suggest}
PMX AI, Kembar Digital Anwar Ibrahim Bakal Dilancarkan Tidak Lama Lagi WISER.MY.