Kemelut Tanah Tasek Bera: Orang Asli Semelai Mahu Adakan Rundingan Bersama Menteri Besar Pahang, Tolak Tawaran 70:30

by Oh! Semput


4
SHARES
54
VIEWS
Posted on 10 Oct 2026 13:30:28


BERA: Masyarakat Orang Asli Semelai mahu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail campur tangan dan mengadakan rundingan terlebih dahulu bagi menyelesaikan kemelut tanah di Tasek Bera, susulan operasi penguatkuasaan yang menurut mereka terus menjejaskan kebun serta sumber pendapatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Tanah Orang Asli Semelai Tasek Bera, Romani Mohd berkata, mereka mahu penyelesaian dicapai di meja rundingan sebelum sebarang tindakan lanjut terhadap kawasan yang diusahakan masyarakat dilaksanakan.

Katanya, pihaknya juga telah menolak tawaran pembahagian hasil 70:30 yang dibuat sebelum ini kerana mahu satu mekanisme baharu dibincangkan secara langsung bersama kerajaan negeri.

“Kami masih menunggu rundingan denganMenteri Besar Pahang.

“Kami bukan menolak usaha kerajaan untuk mendapatkan hasil, tetapi kita mahu duduk berbincang dahulu supaya penyelesaian yang dicapai tidak menyebabkan masyarakat kehilangan kebun dan sumber pendapatan,” katanya ditemui MalaysiaGazette di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Serting, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh diselesaikan melalui operasi penguatkuasaan di lapangan semata-mata kerana ia membabitkan kehidupan, keselamatan, sumber pendapatan dan masa depan masyarakat Orang Asli Semelai.

Menurutnya, masyarakat Semelai bersedia berdialog dan mencari penyelesaian bersama yang mengambil kira kepentingan kerajaan negeri serta hak dan kelangsungan hidup penduduk.

“Untuk tawaran 70:30 yang pernah dibuat sebelum ini, kami tidak terima. Kami mahu rundingan semula kerana perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, kebun yang  masyarakat merupakan antara sumber pendapatan utama keluarga dan sebarang tindakan yang menjejaskan kebun berkenaan akan memberi kesan langsung kepada kehidupan penduduk.

Jawatankuasa itu turut menegaskan bahawa masyarakat Semelai bukan penghalang kepada usaha kerajaan menjana hasil negeri, sebaliknya mahu satu mekanisme yang membolehkan kerajaan memperoleh hasil tanpa menyebabkan penduduk kehilangan sumber kehidupan.

Dalam perkembangan sama, mereka turut menyentuh operasi penguatkuasaan di beberapa kawasan penempatan Orang Asli sekitar Tasek Bera sejak 14 September lalu, termasuk insiden berkaitan palang keselamatan di laluan utama ke Kampung Lubuk Tambangan pada 6 Oktober.

Mereka berkata, sebarang tindakan terhadap laluan keluar masuk kampung dan kawasan kebun perlu mengambil kira keperluan penduduk termasuk keselamatan, pendidikan, kecemasan serta aktiviti mencari rezeki.

Jawatankuasa itu berharap rundingan bersama Menteri Besar Pahang dapat diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan kemelut tanah di Tasek Bera diselesaikan secara menyeluruh melalui meja rundingan, bukannya semata-mata melalui tindakan penguatkuasaan.

Komuniti itu mahu rundingan dilakukan susulan beberapa insiden ketegangan yang berlaku ketika aktiviti penguatkuasaan di kawasan Tasek Bera membabitkan masyarakat Orang Asli dan pasukan penguat kuasa.

Semalam, seorang lelaki berusia 54 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut selepas seorang lelaki cedera dipercayai ditumbuk ketika berlaku ketegangan antara sekumpulan masyarakat Orang Asli dengan pasukan penguat kuasa yang menjalankan operasi di sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar Tasek Bera, di Kampung Lubuk Tambangan, di sini.


Terdahulu pada 23 September lalu, operasi bersepadu di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera menyaksikan dua lelaki ditahan manakala sebuah lori membawa muatan kelapa sawit disita pihak berkuasa.

Sebelum itu, lima individu masyarakat Orang Asli turut ditahan polis selepas didakwa menghalang operasi penguatkuasaan di kawasan sama pada 15 September lalu.

Isu berkenaan berkait dengan penguatkuasaan terhadap dakwaan penerokaan tanpa kebenaran di kawasan HSK Tasek Bera, yang turut mencetuskan pertikaian berhubung tanah adat dan kepentingan komuniti Orang Asli Semelai.

UPNP sebelum ini memaklumkan lebih 7,000 hektar kawasan HSK Tasek Bera disyaki diteroka secara haram untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.

Operasi terbabit turut membabitkan UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Bagaimanapun, isu itu turut mencetuskan pertikaian dengan masyarakat Orang Asli Semelai yang mendakwa kawasan berkenaan mempunyai kaitan dengan tanah adat dan ruang kehidupan komuniti mereka.

Batin-Batin dan Lembaga Adat Semelai sebelum ini menafikan dakwaan bahawa masyarakat mereka diperalatkan sindiket luar untuk meneroka tanah secara haram, sebaliknya mendakwa isu terbabit memberi kesan kepada kawasan kehidupan lebih 3,000 masyarakat Semelai di sekitar Tasek Bera.

Tasek Bera diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 dan diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994 kerana kepentingan ekologi serta kepelbagaian biologi tanah lembapnya. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts