Kenderaan Penyeludup Terbabas, Cubaan Seludup 200,000 Batang Rokok Putih Gagal

by Oh! Semput


4
SHARES
54
VIEWS
Posted on 27 Jul 2026 11:31:33

Cubaan menyeludup sebanyak 200,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas sebuah kenderaan yang digunakan suspek terbabas ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Kampung Kok Bedollah, Tumpat, awal pagi semalam.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 4.15 pagi itu merupakan sebahagian daripada Op Taring Wawasan oleh Batalion 9 PGA. Anggota yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah Proton Preve dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, pemandu terbabit bertindak memecut laju sejauh kira-kira dua kilometer bagi mengelak ditahan. Bagaimanapun, kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam kawasan tali air di Kampung Kok Bedollah.

Beliau berkata, suspek berjaya melarikan diri meninggalkan kenderaan berkenaan, namun hasil pemeriksaan menemukan beberapa guni yang mengandungi 200,000 batang rokok putih dipercayai diseludup tanpa cukai.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok dan Proton Preve yang digunakan dianggarkan berjumlah RM400,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, manakala semua barang rampasan telah diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor bagi tindakan lanjut.

Ahmad Radzi berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek yang melarikan diri selain mengenal pasti pemilik berdaftar kenderaan tersebut bagi membantu siasatan dan membongkar rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok di kawasan sempadan.

Beliau turut menegaskan PGA akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan di laluan-laluan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas penyeludupan bagi mengekang kemasukan barangan tidak bercukai yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara dan menjejaskan pasaran tempatan.

Kenderaan Penyeludup Terbabas, Cubaan Seludup 200,000 Batang Rokok Putih Gagal first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts