by Oh! Semput
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berhubung sejarah demi kepentingan politik.
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menyatakan, selain memfailkan saman, laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak yang memutar belit ucapannya ketika menyampaikan ceramah di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sanusi berkata, kenyataan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak tertentu seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebelum ini, kenyataan Sanusi ketika berucap di Jempol menjadi perhatian selepas beliau menyentuh mengenai sejarah Tanah Melayu serta kedudukan orang Melayu.
Ucapan itu kemudiannya menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong yang mendakwa kenyataan tersebut berbaur perkauman dan bersifat hasutan.

Mengulas perkara itu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa kenyataannya telah dipetik secara berasingan sehingga mengubah maksud sebenar.
Beliau turut menegaskan sejarah tidak seharusnya dijadikan punca mencetuskan ketegangan kerana ia merupakan fakta yang perlu dipelajari untuk memahami peristiwa lampau dan dijadikan panduan pada masa hadapan.