by Oh! Semput
PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti tersebut.
Menerusi kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, beliau memaklumkan keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada Isnin.
Menurut beliau, mesyuarat itu turut bersetuju untuk meneroka persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya yang baharu demi memperkukuh agenda penyatuan ummah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Selain itu, PAS juga menyatakan kesediaan menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik serta aktivis masyarakat yang ingin menyertai parti tersebut.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan Abdul Hadi berlangsung hampir tiga jam bermula pukul 9 malam.
Antara pimpinan yang hadir termasuk Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
: Facebook Abdul Hadi Awang