by Oh! Semput
Kerajaan Negeri Selangor dijangka menerima maklumat terperinci berhubung nasib kira-kira 400 pekerja yang dijangka terjejas susulan penutupan operasi kilang pengeluaran televisyen oleh Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd (PAVCKM).
Memetik laporan Bernama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu akan membolehkan intervensi sewajarnya dilaksanakan menerusi kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor.
“Kita akan dapatkan maklumat itu daripada PERKESO dan JTK Selangor untuk melihat intervensi yang boleh dilakukan termasuk menyalurkan mereka ke kilang pembuatan atau sektor lain serta menyediakan latihan keusahawanan jika diperlukan. Selain itu, platform Karnival Jelajah JobCare Selangor akan dimanfaatkan bagi menawarkan peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau berkata langkah penstrukturan semula syarikat itu menyaksikan pengeluaran televisyen akan dihentikan pada September ini, manakala pengeluaran produk audio berjenama Technics akan berakhir pada penghujung Februari 2027 sebelum dipindahkan ke sebuah lagi syarikat dalam Panasonic Group.
Amirudin menegaskan pihaknya komited memastikan setiap pekerja yang terlibat mendapat sokongan peralihan kerjaya serta akan membantu mengurangkan impak sosial ke atas mereka.
Terdahulu, Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) mengumumkan penutupan operasi pengeluaran bagi kedua-dua produk berkenaan, yang dijangka menjejaskan kira-kira 400 pekerja menjelang Mac 2027.
{suggest}
Kerajaan Selangor Akan Bantu 400 Pekerja Terjejas Akibat Penutupan Kilang Panasonic WISER.MY.