Kesesakan lalu lintas ‘menghantui’ warga KK?

by Oh! Semput


10
SHARES
131
VIEWS
Posted on 28 Dec 2016 12:00:25

KOTA KINABALU: Keadaan trafik di Kota Kinabalu sekarang sudah banyak berubah dan semakin hari, kesesakan lalu lintas semakin menghantui penduduk terutama yang bekerja di pusat bandar dan kawasan berhampiran.

Perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja mengambil masa 45 minit, satu atau dua jam ketika waktu puncak iaitu pada pagi dan petang bukan lagi perkara mustahil buat penduduk yang tinggal di luar bandaraya, melainkan ketika musim cuti sekolah.

Info trafik di Kota Kinabalu dan kawasan sekitar yang ke udara menerusi stesen radio di sini juga sudah menjadi satu keperluan sebagai maklumat untuk warga kota merancang perjalanan mereka setiap hari.

Meskipun dahulu tidak banyak laluan alternatif dibina, namun, kesesakan lalu lintas di Kota Kinabalu dan kawasan sekitar masih berada pada tahap terkawal.

Trend pertambahan jumlah kenderaan di atas jalan raya selain perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang cekap menjadi antara faktor penyumbang kepada berlakunya permasalahan itu.

Rata-rata penduduk yang ditemui Bernama turut meluahkan keluhan mereka terhadap kesesakan lalu lintas di pusat bandar dan kawasan sekitar yang disifatkan semakin kritikal.

Seorang pensyarah, Khairunnisa Islami berkata, kesesakan lalu lintas terutama di kawasan Sepanggar dan Tuaran menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu sudah bermula seawal 5.30 pagi lagi.

“Tetapi berbeza pada cuti sekolah, kesesakan trafik terkawal,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman ialah seorang penjawat awam Fairuz Saidi, yang berkata dia menghabiskan masa antara 45 minit hingga satu jam untuk sampai ke rumahnya di Indah Permai, Manggatal, walaupun jarak ke pejabat hanya kira-kira tujuh kilometer.

Bagi Charlie Luke dari Tamparuli pula, beliau bergerak ke tempat kerjanya di Donggongon, Penampang, seawal 5.00 pagi untuk memastikan dia sampai awal ke pejabat dengan tenang tanpa perlu bersesak-sesak dengan kenderaan lain.

“Sekarang ramai tinggal di luar Kota Kinabalu tetapi bekerja di kawasan bandar. Kita masih belum ada sistem pengangkutan awam yang bagus sedangkan penduduk semakin ramai,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam Mohd Ikram Aidi dari Papar berkata pengangkutan awam antara bandar perlu diperkasa selain menaiktaraf lagi kemudahan kereta api bagi menjimatkan masa perjalanan.

“Dengan cara ini, ia akan menarik minat masyarakat memilih pengangkutan awam yang lebih menjimatkan kos perjalanan berbanding penggunaan kereta persendirian,” katanya, yang bekerja di Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Kalvin Liaw berkata, pergerakan aliran trafik serta jumlah kenderaan keluar dan masuk ke pusat bandar ketika ini jauh berbeza berbanding 16 tahun lepas.

Ini berdasarkan statistik direkodkan pada tahun 2000 yang menunjukkan hanya kira-kira 77,000 jumlah kenderaan keluar dan masuk ke pusat bandar dalam sehari.

Sekarang dianggarkan hampir 140,000 kenderaan keluar dan masuk ke pusat bandar dalam sehari berdasarkan pengiraan kumulatif dan jika diambil secara konservatif tiga hingga empat peratus pertambahan pemilikan kenderaan setiap tahun.

Perkara itu antara lain didorong oleh kemampuan penduduk untuk memiliki kenderaan sendiri, dan dalam masa sama, pemasaran penjualan kenderaan yang semakin agresif dengan tawaran harga menarik, katanya.

Selain itu, rata-rata warga kota lebih berminat menggunakan kenderaan sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam, yang disifatkan masih kurang selesa, lambat dan tidak cekap.

Jika terlalu tertumpu dengan penggunaan kenderaan sendiri sahaja, maka persoalan kesesakan lalu lintas akan terus timbul dan menjadi ‘barah’ yang perlu ditempuhi oleh penduduk, katanya.

Bagaimanapun, kerjasama bersepadu daripada agensi terlibat amat diperlukan dalam menangani isu kesesakan lalu lintas memandangkan tidak semua jalan raya di bawah DBKK dan kebanyakan jalan raya utama di bawah Jabatan Kerja Raya, katanya.

Mengulas lanjut, Kalvin berkata, sukar untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandaraya membangun jika perancangan tertumpu kepada pendekatan konvensional seperti melebarkan jalan raya dan membuat jejambat sahaja.

Menurutnya, mekanisme itu bukanlah satu penyelesaian terbaik untuk era sekarang, walaupun ia berupaya mengurangkan impak kesesakan lalu lintas terutama di setiap persimpangan.

“Penduduk bertambah dan pembelian kenderaan pun bertambah. Untuk menangani masalah ini, kita perlu melihat pendekatan pelbagai dan tidak hanya tertumpu kepada pendekatan konvensional seperti pelebaran jalan dan membuat jejambat.

“Ia hanya dapat menyelesaikan masalah dalam tempoh singkat, mungkin dalam tempoh setahun (selepas pelebaran jalan dan pembinaan jejambat siap) aliran trafik lancar, tetapi selepas itu (kesesakan lalu lintas) kembali seperti biasa.

“Pelebaran jalan dan pembinaan jejambat itu perlu, tetapi apabila sampai pada satu tahap, kita perlu menerima hakikat bahawa pembangunan infrastruktur berkenaan tidak boleh ditambah lagi,” katanya.

Justeru, satu pendekatan perancangan bandar yang seimbang dan proaktif amat diperlukan memandangkan kehendak orang ramai untuk membeli dan memiliki kenderaan sendiri tidak boleh dihalang.

Kalvin berkata DBKK sedar keperluan pendekatan perancangan seimbang ke arah menjadikan pergerakan aliran trafik pusat bandar Kota Kinabalu lebih kondusif sekali gus mengangkat imej ibu negeri Sabah ini sebagai bandaraya kelas pertama.

Bagi merealisasikan hasrat itu, aspek utama yang perlu dititik beratkan ialah memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam supaya ia dapat menarik minat penduduk menggunakan kemudahan itu.

“Sekarang ini, masa perjalanan pengangkutan awam seperti bas tidak dikoordinasi selain terlalu banyak operator atau pengusaha bas dalam satu laluan yang sama.

“Jika ditetapkan setiap 30 minit bas kena bergerak, mungkin ada bas mempunyai penumpang dan mungkin ada yang tidak, dan (kebiasaanya) bas tiada penumpang tidak mahu bergerak sehingga penumpang memenuhi ruang bas mereka.

“Kita akan menghadapi kesukaran untuk mengkoordinasi masa perjalanan (bas) ini kerana masing-masing (pengusaha bas) ingin mendapatkan pelanggan memandangkan ia adalah mata pencarian mereka,” katanya. Menurutnya, mutu pengangkutan awam di bandaraya ini sukar ditingkatkan jika kaedah masa perjalanan seumpama itu terus digunakan.

Untuk itu, satu penyusunan semula secara keseluruhan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam perlu dirancang dengan lebih teliti bagi memastikan perkhidmatan itu di bandaraya ini berada pada tahap membanggakan.

Ini merangkumi pembangunan terminal bas bersepadu, kemudahan perhentian bas dan kemudahan pejalan kaki yang strategik, kondusif serta selamat untuk pengguna bermula dari kawasan perumahan dan tempat kerja ke perhentian bas, katanya.

Beliau berkata penyediaan infrastruktur berkenaan dilihat berupaya menambahbaik sistem pengangkutan awam ke tahap lebih efisien dan mesra pengguna selain mampu setanding dengan sistem pengangkutan awam di tempat lain.

Semua intipati memperkasa pengangkutan awam itu disenaraikan di bawah satu pelan induk dirangka DBKK sebagai usaha memastikan kesesakan lalu lintas tidak terus menghantui warga kota dan pengangkutan awam dioptimumkan.

Perancangan itu juga dibuat demi keselesaan serta kemaslahatan penduduk sekali gus menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya selesa didiami, katanya. -Bernama


Bagaimana pula dengan pandangan anda ? Kongsikan di ruangan komen di bawah.

Sementara itu ini pula pandangan yang dipetik dari media sosial facebook untuk perkongsian kepada pelawat di Portal Suara Masyarakat Sabah


LIKE Kami Sekarang
Untuk Terus Mengikuti Berita Pantas

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts