by Oh! Semput
Dua lelaki tempatan diberkas selepas cubaan mereka melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan aksi kejar-mengejar sejauh beberapa kilometer dari Sri Damansara hingga ke Jalan Sungai Pusu, Gombak, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.57 malam apabila polis menerima maklumat mengenai sebuah Nissan Grand Livina yang enggan berhenti untuk pemeriksaan di Persiaran Dagang, Sri Damansara.
Menurut beliau, pemandu kenderaan itu memecut dan memandu secara berbahaya melalui beberapa laluan bagi mengelakkan diri daripada ditahan sebelum berjaya dikesan semula di Jalan Sungai Pusu.
Beliau berkata, ketika anggota polis cuba menahan kenderaan terbabit, suspek bertindak agresif dengan mengundurkan MPV itu sehingga merempuh sebuah kenderaan polis. Suspek kemudian meneruskan pelarian dan melanggar dua buah kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan sebelum berjaya diberkas.
Polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang dipercayai merupakan pemandu dan penumpang Nissan Grand Livina berkenaan bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati pemandu mempunyai 23 rekod berkaitan dadah, empat rekod jenayah serta satu rekod sebagai individu dikehendaki polis. Penumpang pula memiliki lapan rekod dadah, 10 rekod jenayah dan enam rekod lain-lain kesalahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dua Lelaki Diberkas Selepas Cuba Lolos Pemeriksaan, Rempuh Kenderaan Polis dan Awam first appeared on #1 The News Malaysia.