Lenovo Melancarkan Siri Tablet Terbaru Mereka Untuk Pasaran Malaysia

by Oh! Semput


3
SHARES
42
VIEWS
Posted on 03 Nov 2026 10:30:51

Lenovo Malaysia hari ini telah melancarkan sejumlah model baru untuk siri tablet Android mereka yang dikuasakan oleh cip pemprosesan terbaru dan berkuasa, sesuai untuk pelbagai jenis kegunaan tidak kira untuk tujuan produktivit, pembelajaran dan juga riadah.

Tablet-tablet ini termasuklah Lenovo Yoga Tab Plus Gen 2, Lenovo Yoga Tab Gen 2, Lenovo Legion Tab, Lenovo Idea Tab Pro Gen 2 dan Lenovo Tab Plus Gen 2 yang mana kesemuanya adalah tablet-tablet kelas premium, dan tampil dengan senario penggunaan yang berbeza, bergantung kepada keperluan anda.

Lenovo Yoga Tab Plus Gen 2

Bermula dengan Lenovo Yoga Tab Plus Gen 2, Lenovo mengatakan bahawa ia merupakan tablet natif AI pertama mereka, dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang digabungkan bersama 16GB memori LPDDR5X dan storan dalaman sebanyak 512GB. Apa yang menarik dengan tablet ini ialah ia juga tampil dengan slot untuk storan tambahan MicroSD

Paparan tablet Yoga Tab Plus Gen 2 ini menggunakan panel Lenovo PureSight Pro bersaiz 13 inci dengan resolusi 4K (3840×2560) dengan kadar segar semula 144Hz, nilai kecerahan 700 nits dan kemampuan mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.

Tablet ini juga merumahkan sistem kamera belakang 13MP dan kamera pandang hadapan 8MP yang sesuai digunakan untuk mengambil gambar dengan cepat.

Ia juga merumahkan tablet bersaiz 12,700mAH dengan kemampuan pengecasan 68W yang mana bateri ini boleh dicas ke 80 peratus kapasiti dalam masa satu jam sahaja. dari segi sokongan sambungan nirwayar pula, Yoga Tab Plus hadir dengan sokongan WiFi7 dan juga Bluetooth 6.

Tablet ini dipasarkan sebagai tablet pencipta kandungan kelas premium, dengan sokongan untuk teknologi AI dan juga didatangkan dengan penutup tablet dengan papan kekunci terbina, dan juga pena stylus Lenovo Tab Pen Pro 2.

Lenovo Yoga Tab Plus Gen 2 sudah mula tiba di pasaran tempatan pada harga permulaan RM3999.

Lenovo Yoga Tab Gen 2

Jika anda mahukan sebuah tablet yang lebih kecil, Lenovo Yoga Tab Gen 2 tampil dengan paparan skrin LCD bersaiz 11 inci dengan resolusi 3.8K (3840 x 2560) dan dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9500S dengan memori LPDDR5X sebanyak 12GB dan storan dalaman 256GB, dengan slot pembaca kad MicroSD terbina untuk storan tambahan jika diperlukan.

Tablet ini juga didatangkan bersama penutup papan kekunci dan juga stylus Lenovo Tab Pen Pro 2 yang sesuai digunakan untuk mengambil nota, melukis dan sebagainya.

Lenovo Yoga Tab Gen 2 juga kini sudah ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM2659.

Lenovo Idea Tab Pro Gen 2

Lenovo Idea Tab Pro Gen 2 merupakan tablet premium versatil yang sesuai digunakan oleh pelbagai jenis pengguna, dari mereka yang mahukan sebuah tablet berkuasa untuk digunakan di rumah, untuk pembelajaran, kerja dan pelbagai produktiviti lain dan juga riadah dari segi gaming dan juga tontonan video.

Tablet ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 4 dan digabungkan dengan pilihan memori dan storan 8GB/256GB dan 12GB/512GB bersama-sama paparan skrin bersaiz 13 inci dengan resolusi 3K (3504 x 2190) dengan kadar segar semula 144Hz.

Tablet ini juga merumahkan sejumlah ciri-ciri AI seperti Smarter Reader yang membolehkan pengguna menggunakan kemampuan AI dalam peranti untuk menerangkan segmen-segmen teks yang sukar untuk difahami. Nota yang ditanda akan disimpan dalam aplikasi Lenovo Notepad yang juga akan membantu menyusun nota-nota anda mengikut konteks. Dalam pada itu, tablet ini juga hadir dengan fungsi transkripsi dan terjemah masa nyata yang membolehkan anda memahami konteks percakapan dan perbualan pada masa nyata.

Lenovo Idea Tab Pro Gen 2 tampil dengan bateri bersaiz 10,200mAH yang menyokong pengecasan pantas 45W dan hadir dengan berat 600g sahaja yang membolehkannya dibawa bersama kemana-mana sahaja dengan mudah. Ia juga dipadankan dengan penutup papan kekunci 2-dalam-1 dan pen stylus Lenovo Pen Tab Pen Plus.

Lenovo Idea Tab Pro Gen 2 juga sudah mula dijual di pasaran tempatan pada harga permulaan RM1949 untuk model dengan konfigurasi 8GB/256GB dan RM2559 untuk model dengan konfigurasi 12GB/512GB.

Lenovo Tab Plus Gen 2

Tablet Lenovo Tab Plus Gen 2 adalah untuk mereka yang mementingkan penggunaan tablet sebagai sebuah peranti riadah utama, khususnya jika mereka seorang penonton siri filem dan televisyen, dan mahukan kemampuan output audio yang terbaik dalam peranti yang mudah dibawa kemana-mana.

Bermula dengan paparan skrin, tablet ini hadir dengan panel LCD bersaiz 12.1 inci dengan resolusi  2.5K (2560 x 1600) dan nilai kecerahan 800 nits dan kadar segar semula 120Hz. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7400 dengan gabungan memori dan storan 12GB dan 256GB terbina.

Keunikan utama tablet ini hadir melalui penggunaan pembesar suara JBL 9-unit Pro di bahagian belakang tablet ini, yang mana ia juga hadir dengan tapak berdiri terbina yang boleh dipusing 360 darjah untuk membolehkan tablet ini didirikan secara menegak dan juga mendatar.

Pembesar suara ini juga hadir dengan mod pendengaran Bluetooth tersendiri yang membolehkan pengguna untuk menyambungkan peranti pintar mereka ke bahagian pembesar suara sahaja, dan ini membolehkan mereka memainkan lagu-lagu mereka melalui pembesar suara terbina tersebut.

Tablet ini merumahkan bateri sebesar 10,200mAH dan tampil dengan kelajuan pengecasan 45W.

Lenovo Tab Plus Gen 2 juga sudah mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM1929.

Lenovo Legion Tab

Tablet gaming Lenovo Legion Tab telah diberi kemaskini baru untuk mereka yang mahukan prestasi gaming pada peranti mudah-alih tanpa tandingan. Tablet ini tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 8.8 inci dengan resolusi 3.5K (3040 x 1904) dengan kadar segar semula 165Hz dan nilai kecerahan 600 nits.

Tablet ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang terbaru, dan dimuatkan bersama-sama dengan 16GB memori LPDDR5X dan juga storan dalaman 512GB. Oleh kerana ia menggunakan komponen-komponen berkuasa, ia juga tampil dengan sistem penyejukan Legion Coldfront Vapor yang dikemaskini dengan kemampuan penyejukan 32 peratus lebih baik berbanding dengan sistem yang digunakan pada Legion Tab sebelum ini.

Lenovo AI Engine+ juga tampil dengan solusi yang menggunakan teknologi AI untuk memperbaiki mutu prestasi permainan, kualiti audio dan juga untuk menambahkan sensitiviti fungsi sentuhan pada skrin bergantung kepada permainan-permainan yang anda mainkan.

Tablet ini tampil dengan bateri 9000mAH dengan sokongan untuk pengecasan 68W. Dari segi sambungan nirwayar, Legion Tab menyokong sambungan rangkaian WiFi7 dan Bluetooth 6.0.

Lenovo Legion Tab terbaru ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan pada harga RM3279.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts