by Oh! Semput

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM):
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Tashkent, Republik Uzbekistan atas jemputan Menteri Pertanian Uzbekistan, TYT Ibrokhim Abdurakhmonov.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan, khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi, teknologi pertanian, pelaburan serta keterjaminan makanan. Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembangunan akuakultur, teknologi pengairan mampan, adaptasi perubahan iklim, penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian serta penerapan teknologi pintar bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.
Kedua-dua negara turut mengenal pasti potensi kerjasama yang lebih luas dalam bidang perikanan, pemindahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pertanian digital, pertanian pintar dan pengurusan air secara mampan. Malaysia juga berkongsi kepakaran dalam teknologi akuakultur termasuk penggunaan teknologi biofloc yang berupaya meningkatkan produktiviti pengeluaran dalam kawasan yang terhad.
Selain hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), kedua-dua pihak turut menggalakkan kerjasama perniagaan dengan perniagaan (B2B) bagi memperkukuh pelaburan dan perdagangan dalam sektor pertanian. Dalam masa yang sama, perkembangan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Centre of Knowledge and Innovation in Agriculture (AKIS), Uzbekistan bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian turut dialu-alukan.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, YB Menteri turut merasmikan pelancaran operasi Meraque Group di Uzbekistan. Pelancaran tersebut dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam memperluaskan kehadiran syarikat teknologi pertanian Malaysia ke pasaran Asia Tengah dan memperkukuh daya saing teknologi pertanian tempatan di peringkat antarabangsa.
Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dan Uzbekistan terus menunjukkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan mencecah RM338.48 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2025. Malaysia mengeksport produk seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus dan makanan diproses ke Uzbekistan, manakala import utama dari negara tersebut termasuk buah-buahan bernilai tinggi seperti anggur.
Dalam pertemuan tersebut, YB Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS Serdang, Selangor.
Lawatan ini turut merangkumi penyertaan Malaysia dalam Tashkent International Investment Forum (TIIF) 2026 yang menjadi platform utama bagi pemimpin kerajaan, pelabur global dan pemain industri antarabangsa untuk meneroka peluang pelaburan serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.
SUMBER: