Makluman: Situasi Semasa Demam Denggi di Malaysia

by Oh! Semput


3
SHARES
45
VIEWS
Posted on 14 Jul 2026 15:00:24

alt

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat peningkatan kes demam denggi di beberapa kawasan di negara ini. KKM sedang memantau situasi ini dengan teliti dan terus memperkukuh pelbagai langkah pencegahan serta kawalan bagi mengurangkan penularan penyakit.

Sehingga 9 Julai 2026, sebanyak 42,848 kes demam denggi telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 34.8 peratus berbanding 31,790 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2025. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 34 kematian akibat demam denggi telah direkodkan berbanding 19 kematian pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 78.9 peratus.

Analisis epidemiologi menunjukkan bahawa hampir dua pertiga (63.5 peratus) daripada keseluruhan kes demam denggi di Malaysia tertumpu di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 7,909 kes, meningkat 83.8 peratus.

Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan. Keadaan ini menunjukkan bahawa Lembah Klang kekal sebagai kawasan tumpuan utama penularan demam denggi dan memerlukan pelaksanaan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu.

Walaupun beberapa negeri menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, keadaan ini tidak seharusnya menimbulkan rasa selesa. Semua negeri perlu terus memperkukuh dan mengekalkan langkah pencegahan serta kawalan secara konsisten kerana situasi demam denggi boleh berubah dengan cepat bergantung kepada faktor epidemiologi, persekitaran, dan cuaca.

Peningkatan kes demam denggi ini adalah selaras dengan pola epidemiologi penyakit yang lazimnya bersifat berkitar (cyclical pattern). Di kebanyakan negara endemik, peningkatan kes atau wabak besar boleh berlaku setiap tiga hingga lima tahun. Namun demikian, tempoh penularan dan magnitud wabak berbeza mengikut keadaan epidemiologi, persekitaran, dan iklim setempat.

Peningkatan berkala kes demam denggi dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk perubahan tahap imuniti penduduk dari semasa ke semasa, peralihan dominasi serotip virus denggi, keadaan cuaca seperti hujan, suhu, dan kelembapan yang menyokong pembiakan serta kelangsungan hidup nyamuk Aedes. Faktor lain termasuk kepesatan urbanisasi, pergerakan penduduk, keadaan persekitaran, dan kewujudan bekas menakung air serta kebersihan, liputan, dan kelestarian aktiviti kawalan vektor dan penglibatan aktif masyarakat dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

KKM akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan demam denggi melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) berasaskan prinsip Pengurusan Vektor Bersepadu (Integrated Vector Management, IVM) yang melibatkan pengukuhan survelan penyakit dan entomologi, pengesanan awal peningkatan kes dan wabak, kawalan vektor, komunikasi risiko, pemerkasaan komuniti dan penguatkuasaan perundangan serta pemantauan berterusan terhadap keberkesanan intervensi.

KKM menyeru semua pihak termasuk komuniti, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan, sektor swasta, dan orang ramai untuk bersama-sama memperkukuh usaha pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, melaksanakan aktiviti pembersihan secara berkala serta mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi.

KKM akan terus memantau situasi demam denggi secara rapi dan mempergiatkan langkah pencegahan serta kawalan bagi mengurangkan penularan penyakit, mencegah komplikasi dan kematian, serta melindungi kesihatan rakyat.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM

Instagram Rasmi KKM

X Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI

Ad test

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts