by Oh! Semput
LABUAN: Agensi keselamatan Malaysia sedang meningkatkan usaha pengumpulan maklumat risikan dan kerjasama rentas sempadan dengan rakan sejawatan dari Filipina bagi menangani jenayah rentas sempadan dengan berkesan, khususnya di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata kerjasama dalam pertukaran maklumat mengenai jenayah rentas sempadan kini sedang dijalankan.
“Walaupun kerajaan Filipina membenarkan pasukan keselamatan Malaysia memasuki perairan negara itu untuk menyelesaikan isu penculikan, kami merasakan pertukaran maklumat antara pasukan keselamatan di kedua-dua negara perlu dipertingkatkan.
“Agensi keselamatan kami tidak biasa dengan tempat persembunyian penculik, dan untuk kami memasuki kawasan mereka bukanlah satu langkah yang bijak.
“Oleh itu, meningkatkan pertukaran maklumat dan kerjasama rentas sempadan adalah lebih penting,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja beliau di Balai Polis Labuan semalam.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte, dalam lawatan sulungnya ke Malaysia baru-baru ini, memberikan kebenaran kepada pasukan keselamatan Malaysia memasuki perairan negara itu dalam usaha bukan sahaja untuk menjejak penculik, tetapi juga militan yang menceroboh pantai timur Sabah.
Foto oleh FMT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap ia satu perkembangan baharu dalam hubungan Putrajaya-Manila dilaporkan berkata, dua pemimpin bersetuju mengenai keperluan untuk menghapuskan risiko keselamatan yang turut menjejaskan Indonesia.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata kontinjen polis Sabah telah melakukan yang terbaik dalam melindungi keselamatan negeri dan kedaulatan negara.
“Kami meningkatkan program latihan dan mempergiatkan persiapan pertempuran menentang keganasan, yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Abdul Rashid berkata aspek keselamatan Sabah agak berbeza (dari segi ancaman) dengan keluasan 1,733.7 kilometer di sepanjang pantai di negeri ini dari Kudat ke Tawau dan dikelilingi oleh 361 pulau yang ada antaranya terletak berdekatan selatan Filipina, yang memerlukan pengawasan lebih konsisten.
“Justeru, kami tidak dapat menolak kemungkinan jenayah rentas sempadan seperti penculikan, tetapi kami terus meningkatkan pengawasan di perairan negeri untuk membendung kejadian sedemikian,” katanya.