by Oh! Semput
Malaysia sedang mempercepat pembangunan reka bentuk cip tempatan dengan memanfaatkan harta intelek (IP) Arm Ltd, berasaskan kepakaran industri semikonduktor yang telah dibangunkan selama kira-kira 50 tahun.
Langkah itu bertujuan memendekkan tempoh pembangunan dan memperluas keupayaan Malaysia membangunkan IP tempatan.
Memetik laporan Bernama, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Malaysia mempunyai kekuatan sedia ada dalam bidang pembuatan peringkat pemprosesan akhir. Kepakaran sedia ada itu turut dimanfaatkan menerusi kerjasama antarabangsa, termasuk bagi mendapatkan akses kepada reka bentuk IP Arm.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri khususnya dari segi bakat dan kepakaran sejak beberapa dekad lepas. Kita membuktikan kepakaran dalam bidang pengujian, peralatan dan pembungkusan,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor (AiSEM) 2026 hari ini.
Akmal berkata gabungan tersebut membolehkan taman reka bentuk cip tempatan menghasilkan enam inovasi cip yang sedia dipasarkan dalam tempoh hanya dua tahun.
Terdahulu, beliau melancarkan enam cip tempatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat di Malaysia Semiconductor IC Design Park. Keenam-enam cip itu mempunyai anggaran potensi jualan keseluruhan sebanyak RM300 juta dan direka untuk pelbagai aplikasi, termasuk kecerdasan buatan (AI), automotif, teknologi angkasa lepas serta sistem kawalan penerbangan dron.
Dalam pada itu, beliau berkata hab semikonduktor di peringkat Persekutuan dan negeri perlu saling melengkapi bagi membentuk ekosistem industri yang bersepadu, bukannya bersaing atau bertindih antara satu sama lain.
Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan pertindihan pelaburan antara rancangan Persekutuan dengan projek negeri seperti di Sarawak dan Selangor, Akmal berkata setiap negeri mempunyai kelebihan tersendiri dalam rantaian nilai semikonduktor.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Malaysia menyasarkan peningkatan kadar pekerja mahir daripada sekitar 31% pada 2025 kepada 35% di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menerusi peluasan sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Gambar utama: Facebook//Amirudin Shari
{suggest}
Malaysia Percepat Reka Bentuk Cip Menerusi IP Arm, Enam Cip Tempatan Dilancarkan WISER.MY.