Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman Bersatu Dalam Lagu Kemanusiaan “Yang Tinggal”

by Oh! Semput


3
SHARES
40
VIEWS
Posted on 09 Jul 2026 11:31:33

Tiga nama besar industri muzik tanah air, Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman, berganding buat julung kalinya menerusi single berjudul “Yang Tinggal”, sebuah karya yang mengangkat mesej kemanusiaan dengan memberi fokus kepada penderitaan masyarakat awam, khususnya kanak-kanak yang menjadi mangsa konflik peperangan di Palestin.

Diterbitkan di bawah inisiatif Premium Artist Collaboration 2026 oleh Icon Records, lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, malah membawa mesej mengenai kehilangan, harapan, ketabahan dan nilai kemanusiaan yang terus hidup di sebalik kemusnahan perang.

Idea pembikinan lagu ini mula tercetus sekitar pertengahan tahun 2025 hasil perbincangan antara Zizi Kirana dan Pengarah Icon Records, Iman Tang. Pada masa sama, Malique bersama Tripdisz telah menyiapkan komposisi yang diinspirasikan daripada tragedi kemanusiaan di Palestin sebelum memilih Yasin Sulaiman sebagai penyanyi yang mampu menyampaikan emosi serta elemen muzik bernuansa Timur Tengah.

Proses merealisasikan kolaborasi berkenaan bukanlah mudah memandangkan Yasin ketika itu sedang menjalani rawatan di Hospital Bahagia. Selepas melalui pelbagai proses penyelarasan bersama pihak berkuasa dan kakitangan perubatan, pasukan produksi akhirnya memperoleh kebenaran untuk membawa kelengkapan rakaman profesional ke hospital bagi membolehkan Yasin merakamkan bahagian vokalnya.

Rakaman tersebut turut mendapat perhatian ramai selepas gambar kunjungan Malique bertemu Yasin tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi positif daripada peminat yang melihatnya sebagai simbol persahabatan, penghormatan dan sokongan dalam dunia seni.

Keunikan “Yang Tinggal” turut diserlahkan menerusi penyertaan Voices of Bilad al-Sham Children’s Choir by Cinta Salam Malaysia, iaitu kumpulan koir yang dianggotai kanak-kanak pelarian Syria. Kehadiran mereka menambahkan dimensi emosi kepada lagu tersebut, selain melambangkan suara dan harapan generasi muda yang turut merasai kesan peperangan.

Dalam masa yang sama, Zizi Kirana turut merakamkan sebahagian vokalnya ketika menyertai misi flotila kemanusiaan sebelum menyempurnakan rakaman akhir di Qarma Studio bersama Tripdisz sebaik kembali ke tanah air.

Menurut pihak penerbit, karya ini diinspirasikan daripada kisah benar seorang kanak-kanak Palestin yang terkorban ketika keluar membeli roti untuk ibunya, namun jasadnya ditemukan masih menggenggam roti tersebut. Peristiwa itu menjadi ilham kepada Malique untuk menghasilkan sebuah lagu yang menterjemahkan kesedihan, kasih sayang dan harapan kepada masyarakat dunia.

Menggabungkan lirik puitis bahasa Melayu, petikan bahasa Arab serta susunan muzik bercorak sinematik, “Yang Tinggal” disifatkan sebagai sebuah karya yang merentasi sempadan bahasa dan budaya dalam menyampaikan mesej keamanan serta nilai kemanusiaan sejagat.

Sebagai antara projek utama Icon Records bagi tahun 2026, lagu ini turut memperlihatkan komitmen syarikat rakaman itu dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti dari sudut muzik, malah membawa impak sosial yang lebih besar. Single “Yang Tinggal” dijadual dilancarkan di semua platform penstriman digital utama dalam masa terdekat.

Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman Bersatu Dalam Lagu Kemanusiaan “Yang Tinggal” first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts