Melaka henti keluar lesen pusat hiburan keluarga

by Oh! Semput


5
SHARES
68
VIEWS
Posted on 29 May 2017 00:01:32

Datuk Seri Idris Haron (kanan) bersama setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Naim Abu Bakar (kiri) melihat model projek Pusat Komersial Hang Tuah Melaka (HTMCC) selepas majlis pelancaran. — Foto BernamaMELAKA, 29 Mei — Kerajaan negeri Melaka telah menghentikan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga yang baharu di negeri itu bagi melakukan kajian dan semakan terhadap lesen sedia ada, kata ketua menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata walaupun lesen berkenaan sebelum ini dikeluarkan setelah kajian dilakukan dan diputuskan di peringkat kerajaan negeri, namun langkah tersebut dilakukan bagi mengesan operator yang menyalahgunakan lesen tersebut terutama bagi aktiviti perjudian.

Katanya tempoh bagi pemberhentian pengeluaran lesen tersebut belum diputuskan kerana pihaknya perlu mendapatkan data sebenar termasuk jumlah lesen sedia ada yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Saya mengambil maklum nasihat ketua polis negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) sebelum ini dan saya ingin lihat berapa banyak lesen pusat hiburan keluarga yang telah dikeluarkan setakat ini.

“Justeru kerajaan negeri telah mengambil satu langkah besar iaitu menghentikan pengeluaran lesen hiburan baharu sehingga semua pemilik lesen sedia ada mengikut syarat yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Umno Bantu Rakyat dan Penyampaian Sumbangan kepada Umno Bahagian Negeri Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Khalid kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk menghentikan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga di negeri itu, semalam.

Mengulas lanjut, Idris berkata kerajaan negeri akan menarik serta-merta lesen operator pusat hiburan yang didapati tidak mengikut syarat yang ditetapkan dan lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan lagi kepada mereka.

Terdahulu pada majlis itu, Idris menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 400 orang asnaf, miskin, ibu tunggal dan anak yatim di negeri ini. Turut hadir Pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. — Bernama

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts