by Oh! Semput
Kerajaan Negeri Melaka hari ini melancarkan Inisiatif E-mel Rakyat yang memperkenalkan penggunaan domain rasmi @melaka.my sebagai saluran komunikasi digital antara rakyat dan kerajaan negeri.
Melalui inisiatif ini, setiap pengguna akan mempunyai identiti digital rasmi bagi menerima pelbagai makluman penting daripada kerajaan, sekolah dan komuniti. Antaranya termasuk berkaitan bantuan, pendidikan, peluang pekerjaan serta perkhidmatan kerajaan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan sehingga 22 Julai 2026, lebih 203,000 akaun telah berjaya didaftarkan. Daripada jumlah itu, lebih 193,000 pengguna terdiri daripada murid, guru serta ibu bapa dan penjaga.

Kerajaan Negeri Melaka turut menyasarkan seramai 85,000 ketua isi rumah mengaktifkan akaun masing-masing bagi merealisasikan aspirasi “1 Rumah, 1 E-mel Rakyat”.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata setiap isi rumah di Melaka hanya layak mendaftarkan satu akaun E-mel Rakyat menggunakan domain @melaka.my yang boleh digunakan untuk urusan rasmi kerajaan selain sebagai e-mel peribadi.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan kerajaan negeri yang dibangunkan susulan pelaksanaan Program Kampung Digital. Menerusi program itu, pendigitalan alamat di kesemua 618 kampung di Melaka telah berjaya diselesaikan bagi mewujudkan data alamat yang lebih seragam dan teratur.
Selain E-mel Rakyat, Melaka turut memperkenalkan beberapa lagi inisiatif pendigitalan seperti Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan dan Kubur Digital yang dibangunkan bagi memudahkan urusan harian rakyat melalui penggunaan teknologi.
{suggest}
Melaka Lancar E-mel Rakyat – Sasar ‘1 Rumah, 1 E-mel Rakyat’ WISER.MY.