by Oh! Semput
Beberapa hari lalu kami ada melaporkan bahawa Intel kelak akan menggunakan proses pengilangan cip 18A terbaru mereka untuk menghasilkan lebih banyak cip pemprosesan Intel Xeon “Clearwater Forest” dan mengurangkan pengeluaran cip kelas pengguna Intel Panther Lake dan Wildcat Lake kerana jangkaan permintaan pasaran pengguna yang semakin berkurangan, tetapi permintaan untuk cip pemprosesan kelas pusat data yang semakin meningkat.
Terkini, CEO AMD, Dr. Lisa Su turut mengatakan bahawa beliau juga menjangkakan bahawa permintaan untuk cip pemprosesan kelas pengguna mereka, siri cip AMD Ryzen akan berkurangkan sebanyak dua digit peratusan khususnya kerana kesukaran untuk pelanggan-pelanggan yang mahu membeli komputer persendirian untuk membeli komponen-komponen lain seperti memori, storan dan juga kad grafik.

Walaupun begitu, AMD juga telah melaporkan bahawa pendapatan daripada bahagian komponen pusat data, khususnya jualan untuk komponen-komponen seperti platform cip pusat data AMD EPYC dan AMD Instinct MI kepada pusat data, makmal AI, syarikat hiperskala dan perkhidmatan awanan telah meningkat secara mendadak, dan mampu menampung pengurangan jualan cip pemprosesan untuk sektor pengguna.
AMD telah mencatatkan pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2026 bernilai $13.38 bilion dengan pendapatan dari bahagian pusat data sahaja setinggi $8.5 bilion, yang merupakan 64 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan syarikat dalam tempoh masa tersebut. AMD juga mengatakan bahawa pendapatan mereka sepanjang tempoh ini adalah yang terbesar dan paling menguntungkan mereka dalam sejarah syarikat.
Mereka juga menjangkakan bahawa jumlah pendapatan melalui komponen pusat data juga akan melonjak sebanyak 80 peratus sepanjang tahun 2027, didorong permintaan untuk komponen-kompone CPU dan juga GPU atau pemecut perkomputeran AI yang semakin meningkat.
Ini mungkin bukan satu berita yang mahu didengari oleh mereka yang berminat untuk membina PC ataupun membeli komputer riba mereka sendiri pada tahun depan, tetapi inilah hakikat bahawa pasaran PC untuk tahun 2027 masih tidak akan memihak kepada pasaran pengguna.
: AMD