PAS Menyifatkan Kerjasama Politik Diantara Barisan Nasional (BN) Dan Parti Itu Hanyalah Akan Benar-Benar Teruji Di Perak Dan Pahang

by Oh! Semput


4
SHARES
57
VIEWS
Posted on 26 Nov 2026 16:30:36

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan parti itu hanya akan benar-benar teruji di Perak dan Pahang sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di kedua-dua negeri itu, berikutan kedudukan kekuatan politik serta rundingan pembahagian kerusi yang dijangka lebih mencabar.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata situasi di kedua-dua negeri itu berbeza berbanding Negeri Sembilan dan Melaka apabila PAS dan UMNO sudah menunjukkan persefahaman dengan mengiktiraf kedudukan BN sebagai peneraju kerajaan negeri serta tidak mengganggu kerusi penyandang.

"Ujian sebenarnya ialah di Perak dan juga Pahang. Di kedua-dua negeri ini, jika digabungkan kerusi yang dimiliki PAS dan BN pada PRU lalu, ia boleh membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga atau supermajority Melayu.

"Jadi, bagi saya ujian sebenar muafakat politik ini ialah di Perak dan Pahang," katanya dalam temu bual bersama BH, di sini.

Di Perak, PAS memperoleh 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara BN pula sembilan daripada keseluruhan 59, manakala di Pahang pula, PAS (15) dan BN (17).

Pada masa sama, Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, keikhlasan PAS dalam menjayakan kerjasama itu sudah dibuktikan apabila parti berkenaan tidak melanggar status quo dan kedudukan penyandang BN di Negeri Sembilan serta Melaka.

Pendirian itu turut dizahirkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum penamaan calon apabila mengiktiraf BN sebagai peneraju kerajaan negeri sekiranya kerjasama berkenaan berjaya membentuk kerajaan.

"Di Negeri Sembilan kita tak langgar, di Melaka pun kita tidak langgar status quo ataupun incumbency. Dari awal sebelum penamaan calon, Tuan Guru sudah isytiharkan bahawa kita mengiktiraf driver seat itu kekal kepada BN.

"Maknanya, Menteri Besar kita tidak akan tuntut. Jadi kita ada kompromi dari segi pembahagian kerusi," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata. perkembangan itu menunjukkan kedua-dua parti sudah melepasi peringkat membuktikan keikhlasan dan kini perlu membina keyakinan untuk membawa kerjasama berkenaan ke tahap lebih kukuh.

Abdul Hadi turut menzahirkan keyakinan terhadap usaha penyatuan ummah, sekali gus memperlihatkan kesediaan PAS meneruskan kerjasama berkenaan.

"Keikhlasan itu sudah terbukti di pihak UMNO dan juga PAS. Sekarang ialah kita nak sampai ke tahap keyakinan dan dizahirkan oleh Tuan Guru Haji Hadi semalam bahawa dalam bab penyatuan ummah ini kami sudah sampai tahap keyakinan.

"Kami yakin, kami sudah lakukan dan kita akan terus lakukan," katanya.

Beliau berkata rundingan pembahagian kerusi bagi kerjasama berkenaan perlu mengambil kira kekuatan serta kedudukan politik setiap parti, termasuk di negeri yang mempunyai persaingan kerusi lebih seimbang.

Kedudukan di Pahang menyaksikan kekuatan kedua-dua pihak hampir sama, manakala PAS mempunyai kelebihan dari segi jumlah kerusi di Perak, namun sebarang keputusan tetap memerlukan kompromi kepimpinan tertinggi.

"Very clear demarcation di antara PAS dan UMNO dan sangat tidak mungkin UMNO menuntut Menteri Besar di empat negeri tersebut. Rundingan kerusi dua, tiga, empat atau lima di bawah itu terpulang kepada pucuk pimpinan.

"Di Pahang itu hampir sama-sama kuat, di Perak kami sudah mengatasi. Tetapi seperti di Selangor, kerusi PAS atau PN lebih tinggi daripada UMNO, namun ada rundingan dan kompromi kerana yang penting objektifnya hendak dicapai," katanya.

Ditanya sama ada rundingan rasmi bagi merealisasikan kerjasama itu sudah dimulakan di Perak dan Pahang, beliau berkata setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara kedua-dua parti, sebaliknya hanya pertemuan tidak formal.

Beliau berkata PAS bagaimanapun sudah membuka ruang perbincangan termasuk menerusi kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika berbahas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

"Setakat ini tidak ada perbincangan yang rasmi. Sekadar jumpa minum kopi, berbual-bual itu adalah. Saya kira proses ini tidak boleh berlaku secara mendadak, biarlah secara organik.

"Insya-Allah akan berlakulah satu bentuk permuafakatan ataupun persefahaman. Paling asas ialah persefahaman, kemudian baru kita bawa ke tahap permuafakatan dan gabungan politik," katanya. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts