Mercedes-Benz GLC 300 4M Electric Dijual Bermula RM 389K – 616KM WLTP, Senibina Pengecasan 800V

by Oh! Semput


3
SHARES
39
VIEWS
Posted on 14 Sep 2026 14:00:44

Baharu sahaja bulan lepas Mercedes-Benz Malaysia memulakan penjualan CLA 250+, hari ini mereka telah mengumumkan kehadiran satu lagi model elektrik untuk pasaran tempatan. Mercedes GLC 300 4M Electric ini merupakan siri EV seterusnya dari mereka yang menggunakan senibina MB.EAM yang baharu dengan kecekapan tenaga yang tinggi. Untuk pasaran tempatan ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Avantgarde dan AMG Line Plus.

Perbezaan kedua-dua versi ini adalah dari segi saiz rim dan beberapa bahagian kemasan. Versi AMG Line Plus memiliki spoiler yang lebih ranggi, ditawarkan dengan dua pilihan versi warna eksklusif MANUFAKTUR kelabu dan MANUFAKTUR merah, tempat duduk Sports Seat Package, serta rim tayar AMG 21-inci.

Selain dari perbezaan ini kedua-dua versi membawakan pacuan semua roda namun dengan pembawakan berbeza dimana motor belakang dilengkapi dengan dua tahap kelajuan bagi memberikan kecekapan tenaga yang lebih. Motor hadapan pula berfungsi mengikut corak pemanduan, yang tidak digunakan sewaktu pemanduan santai, dan boleh dihidupkan sepantas mungkin apabila pemanduan yang lebih agresif diperlukan. Jumlah kuasa yang boleh dihasilkan gabungan kedua motor ini adalah 310 kW dan tork 800 Nm, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 4.7 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

Menggunakan senibina teknologi EV terkini, Mercedes GLC 300 4M Electric mempunyai bateri sebesar 85kWh namun mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 616 KM WLTP dengan kadar penggunaan tenaga serendah 15.9 kWh / 100km. Ia turut dilengkapi senibina pengecasan 800V, membolehkan pengecasan pantas DC 320 kW 10-80% dalam masa 12 minit. Untuk pengecasan AC terdapatnya palan AC 22kW memberikan tempoh pengecasan 0-100% sekitar 4 jam. 

Jika Mercedes CLA tampil dengan 142 bintang berbucu tiga di bahagian hadapan, GLC 300 tampil lebih unik dengan 942 kotak piksel yang boleh dianimasikan. Selain dari itu ruang simpanan ditawarkan dengan but belakang berkapasiti 570L, yang boleh diluaskan kepada 1,740L apabila tempat duduk belakang dilipat. Meskipun GLC 300 Electric ini adalah pacuan semua roda, bahagian hadapan masih mempunyai ruang storan frunk berkapasiti 128L. 

Antara kelengkapan lain termasuk bumbung panoramik dengan kaca yang boleh bertukar antara lutsinar dan legap, sistem audio Burmester 3D Surround Sound, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecasan tanpa wayar, navigasi realiti terimbuh, kamera 360 darjah, sistem swapandu tahap 2, dan paparan MBUX Hyperscreen bersaiz 39-inci. 

Anda boleh menempah Mercedes-Benz GLC 300 4M Electric ini pada harga RM 389,000 untuk versi Avantgarde, manakala RM 399,000 untuk versi AMG Line Plus. Sekiranya anda mengambil pelan pembiayaan Agility+, anda hanya perlu membayar serendah RM 4,288 sebulan untuk memiliki kereta elektrik terkini dari Mercedes Benz Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts