by Oh! Semput
KUANTAN: Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan tahniah kepada Nurul Huda Roslan yang menerima Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar 2026.
Penghargaan itu diberikan sempena Konvokesyen Kali Ke-20 Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar, Mesir, yang berlangsung pada 1 November lalu.
Dewan Muslimat PAS negeri dalam kenyataan berkata, penghargaan daripada kedua-dua Paduka Baginda itu amat bermakna bukan sahaja kepada Nurul Huda dan keluarganya, malah seluruh warga pendidik, penuntut ilmu serta kaum wanita.
“Sesungguhnya, penghargaan daripada kedua-dua Paduka Baginda amat besar maknanya, bukan sahaja kepada penerima anugerah dan keluarganya, malah kepada seluruh warga pendidik, penuntut ilmu serta kaum wanita yang terus berusaha melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.
Pihaknya turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan Nurul Huda yang juga anak kelima Ahli Parlimen Temerloh merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Noor.
“Kejayaan ini membawa mesej yang cukup besar tentang peranan seorang ibu dalam membentuk kecemerlangan anak-anak. Di sebalik tanggungjawab kepimpinan, perjuangan dan khidmat kepada masyarakat, pendidikan keluarga tetap menjadi amanah yang tidak pernah dipinggirkan.
“YB Hajah Salamiah sentiasa meletakkan pendidikan sebagai asas penting dalam membina masa depan tujuh orang anaknya. Enam daripada mereka telah berjaya memperoleh ijazah sarjana, manakala kesemua tujuh orang anaknya memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.
“Beliau juga menyimpan cita-cita agar kesemua anaknya mampu mencapai tahap pendidikan tertinggi sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD),” ujarnya.
Dewan Muslimat PAS Pahang berkata, kejayaan itu membuktikan tanggungjawab kepimpinan dan membina keluarga bukanlah dua perkara yang terpisah, sebaliknya pendidikan serta tarbiyah keluarga menjadi asas melahirkan generasi berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para ibu, khususnya dalam memperkukuh institusi keluarga sebagai madrasah pertama yang melahirkan generasi berilmu, beriman dan berbakti kepada agama, bangsa serta ummah.
“Setinggi-tinggi penghargaan turut dizahirkan atas keprihatinan institusi diraja Pahang yang sentiasa memberikan perhatian terhadap kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan negeri ini.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan keafiatan, keberkatan usia dan rahmat-Nya kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dalam menaungi seluruh rakyat jelata,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS negeri, Zulfadli Zakariah berkata, pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah turut mengharumkan nama negeri Pahang dan negara.
“Dalam kesempatan ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada Nurul Huda.
“Sesungguhnya, penghargaan daripada Institusi Kesultanan Pahang ini merupakan satu penghormatan yang amat bermakna dan menambahkan lagi kebanggaan terhadap kejayaan anak Pahang di persada antarabangsa.
“Lebih istimewa, Nurul Huda merupakan puteri kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang yang juga Ahli Parlimen Temerloh. Kejayaan ini pastinya menjadi hadiah amat bermakna buat keluarga, hasil doa, pengorbanan dan kesungguhan dalam mendidik anak-anak dengan kecintaan terhadap ilmu,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Katanya, pencapaian Nurul Huda juga membuktikan bahawa generasi muda daripada keluarga pimpinan PAS mampu menyerlah dalam pelbagai bidang, termasuk akademik, profesional dan keilmuan Islam.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang amat berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh beliau.
“Kami percaya kejayaan ini bukanlah sesuatu yang terpencil. Bahkan, ramai lagi anak-anak pimpinan dan keluarga besar PAS yang sedang membina kecemerlangan dalam pelbagai bidang, sama ada akademik, profesional mahupun keilmuan Islam
“Sesungguhnya, perjuangan membina generasi pelapis bukan sekadar melahirkan pemimpin masa hadapan, tetapi turut membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berkemampuan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda Pahang untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Kami turut mendoakan agar hasrat Nurul Huda untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dipermudahkan dan beliau terus menjadi ilmuwan yang menyumbang kepada agama serta ummah.
“Dari bumi Pahang ke menara ilmu Al-Azhar, kejayaan ini membuktikan bahawa anak Pahang mampu mengharumkan nama negeri di persada dunia,” ujarnya.#Harakahdaily