MyCERT Kesan Trojan Windows Disebar Melalui WhatsApp – Fail ZIP Menyamar Sebagai Dokumen Kewangan

by Oh! Semput


3
SHARES
38
VIEWS
Posted on 30 Oct 2026 07:30:12

MyCERT kini mengesan satu kempen serangan siber aktif di Malaysia yang menggunakan fail ZIP menyamar sebagai dokumen kewangan untuk memasang trojan pada komputer Windows.

Lebih membimbangkan, serangan ini boleh memberikan penyerang kawalan jauh sepenuhnya terhadap komputer mangsa.

Menurut MyCERT, fail tersebut biasanya dihantar melalui WhatsApp dengan menyamar sebagai invois, penyata akaun, penyata elektronik (e-statement) atau dokumen pembayaran. Mesej berkenaan boleh datang daripada akaun kenalan yang telah diceroboh atau individu tidak dikenali yang menyamar sebagai rakan perniagaan.

Penerima kemudian diminta membuka atau mengekstrak fail tersebut menggunakan komputer.

Fail ZIP Mengandungi Program Berniat Jahat

Dalam analisisnya, MyCERT mengenal pasti enam sampel yang mengikuti corak serangan hampir sama. Lima daripadanya menggunakan fail imej cakera maya seperti VHD, VHDX, ISO dan IMG yang terkandung dalam arkib ZIP. Satu lagi sampel pula mengandungi fail program hos dan DLL berniat jahat secara terus di dalam arkib ZIP.

MyCERT info issue WhatsApp Trojan_1
Contoh fail ZIP bernama PDF_2MFVBJ_20260928010152.ZIP yang dihantar kepada mangsa dan didakwa mengandungi dokumen pembayaran untuk diekstrak dan diperiksa. (Foto: MyCERT)

Apa yang menarik perhatian, penyerang menggunakan aplikasi dan komponen perisian yang kelihatan sah untuk menjalankan kod berniat jahat. Antara aplikasi yang disalahgunakan termasuk VLC, Adobe Creative Cloud, UltraViewer, XiangLingHao/Rime dan komponen aplikasi penstriman muzik Kugou.

Teknik ini dikenali sebagai DLL side-loading, iaitu apabila program yang sah memuatkan fail DLL berniat jahat seolah-olah fail tersebut merupakan komponen yang diperlukan. Melalui kaedah ini, penyerang dapat menjalankan kod berbahaya menggunakan program hos berkenaan.

MyCERT info issue WhatsApp Trojan_2
Contoh perbualan WhatsApp daripada akaun kenalan perniagaan yang telah diceroboh, menghantar fail ZIP menyamar sebagai dokumen kewangan dan meminta penerima membukanya menggunakan komputer. (Foto: MyCERT)

Dalam dua sampel, teknik tersebut turut digunakan untuk memasang ejen pengurusan jauh ManageEngine UEMS. Sampel lain pula mewujudkan pintu belakang yang membolehkan penyerang mengakses komputer mangsa dari jauh.

Penggodam Boleh Kawal Komputer Mangsa Dari Jauh

Menurut MyCERT, komputer Windows yang dijangkiti boleh memberikan penyerang kawalan jauh sepenuhnya dalam sesi pengguna. Ini membolehkan mereka menjalankan kod, memindahkan fail dan menguruskan aplikasi pada komputer tersebut.

Akses berkenaan juga berpotensi digunakan untuk mencapai sistem dalaman organisasi, e-mel dan perkongsian fail. MyCERT memberi amaran bahawa komputer yang dijangkiti boleh menjadi titik permulaan kepada penipuan e-mel perniagaan, penipuan perbankan dalam talian dan e-dompet serta pengambilalihan akaun.

Lebih membimbangkan, salah satu sampel yang dianalisis didapati memadamkan fail berniat jahatnya sendiri daripada direktori penghantaran selepas dijalankan. Ini bermakna fail asal mungkin sudah tiada walaupun komputer masih dijangkiti.

MyCERT turut menjelaskan aplikasi WhatsApp pada telefon tidak menjalankan muatan perisian hasad ini. Sebaliknya, mangsa perlu membuka dan menjalankan program yang terkandung dalam fail tersebut menggunakan komputer Windows.

MyCERT Nasihatkan Pengguna Jangan Buka Fail Mencurigakan

Bagi mengelakkan komputer dijangkiti, MyCERT menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apabila menerima fail melalui WhatsApp, e-mel atau media sosial, terutamanya fail yang menyamar sebagai invois, penyata akaun atau laporan kewangan. Ini termasuk fail yang dihantar oleh kenalan sendiri kerana akaun mereka juga mungkin telah diceroboh.

Selain itu, pengguna perlu lebih berhati-hati sekiranya fail ZIP yang diterima mengandungi program seperti .exe atau fail DLL (.dll), sedangkan ia sepatutnya merupakan dokumen biasa. Elakkan juga membuka fail berformat .vhd, .vhdx, .iso dan .img yang diterima daripada pihak lain.

Sekiranya menerima fail yang tidak dijangka daripada kenalan, hubungi mereka melalui panggilan telefon untuk mengesahkan penghantaran tersebut sebelum membuka fail berkenaan.

Bagi pengguna yang sudah membuka fail mencurigakan seperti ini, MyCERT menasihatkan supaya menganggap komputer berkenaan telah diceroboh. Gunakan peranti lain untuk menukar kata laluan perbankan dalam talian dan e-dompet, semak transaksi terkini serta laporkan kejadian kepada pihak bank, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dan MyCERT.

{suggest}

MyCERT Kesan Trojan Windows Disebar Melalui WhatsApp – Fail ZIP Menyamar Sebagai Dokumen Kewangan WISER.MY.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts