by Oh! Semput
Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) Kohort 22 menghimpunkan 19 startup dari seluruh Malaysia dalam program pembangunan yang berlangsung selama 12 minggu. Pada sesi Demo Day, 8 startup yang disenarai pendek membentangkan penyelesaian teknologi masing-masing di hadapan panel pelabur dan wakil industri untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.


Antara startup yang disenarai pendek ialah NCSpeech Technologies yang membangunkan platform berasaskan komuniti bagi membantu syarikat AI mendapatkan data latihan dalam bentuk rakaman suara, gambar dan video. Platform itu melibatkan pemandu perkhidmatan pengangkutan elektronik, penghantar barangan dan penumpang untuk menghasilkan kandungan yang digunakan dalam pembangunan sistem AI dan robotik. Selain itu, syarikat ini turut menjalankan rakaman di kilang dan tempat kerja bagi memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan data latihan khusus.


Sementara itu, CitySage Sdn Bhd membangunkan platform berasaskan AI yang membantu kerajaan, pemaju hartanah dan pelabur menilai cadangan pembangunan berdasarkan data penggunaan tanah, trafik dan demografi penduduk. Platform itu menyokong proses perancangan dan pelaburan berasaskan data termasuk menerusi projek Iskandar Malaysia Analytics Centre (IMAC) bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Syarikat berkenaan turut bekerjasama dengan rakan industri di Malaysia dan Jepun dalam bidang analisis bandar serta pengangkutan.


Dalam kategori berbeza, Komers membangunkan platform jualan berasaskan WhatsApp yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengurus tempahan, pembayaran serta penghantaran dalam satu platform. Pelanggan boleh membuat tempahan dan pembayaran secara terus melalui WhatsApp tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan, sekali gus memudahkan peniaga mengurus tempahan dan jualan. Setakat ini, Komers mempunyai lebih 500 perniagaan berdaftar, dengan 74 daripadanya merupakan pelanggan berbayar daripada sektor makanan dan minuman (F&B), insurans serta perniagaan dalam talian.


Turut berada dalam kalangan finalis ialah Algae Decarbon yang membangunkan Aura, iaitu sistem pembersihan udara berasaskan teknologi biologi untuk meningkatkan kualiti udara dalaman. Sistem itu dilengkapi penderia pintar bagi membolehkan pemantauan kualiti udara secara masa nyata dan menyasarkan pengguna serta perniagaan yang mencari alternatif kepada penapis udara konvensional. Ketika ini, Algae Decarbon sedang menguji dua prototaip bersama rakan perintis sebelum dipasarkan.


Bagi sektor automotif, Zephyron Sdn Bhd membangunkan teknologi berasaskan hidrogen yang membantu mengurangkan pengumpulan karbon dalam enjin kenderaan. Teknologi itu direka untuk meningkatkan kecekapan enjin, menjimatkan penggunaan bahan api serta mengurangkan pelepasan karbon. Syarikat berkenaan menyasarkan bengkel automotif dan pengendali armada sebagai pasaran utama, di samping menjalin kerjasama dengan Petromin yang mengendalikan rangkaian bengkel automotif di Arab Saudi dan Malaysia.


Bagi meningkatkan kecekapan operasi, WorkAce AI membangunkan platform berasaskan AI yang membantu syarikat mengurus tugasan rutin seperti kewangan, sumber manusia (HR), jualan dan khidmat pelanggan. Platform itu mengurangkan beban kerja manual dengan membolehkan pelbagai proses dijalankan secara automatik. Syarikat berkenaan menyasarkan syarikat bersaiz sederhana dan besar yang ingin meningkatkan produktiviti melalui penggunaan AI. Setakat ini, WorkAce AI mempunyai potensi jualan kira-kira RM6 juta dengan pelanggan daripada sektor peruncitan, pembuatan, telekomunikasi, hartanah dan kewangan.


Seterusnya, Flipbizz membangunkan platform pengambilan pekerja berasaskan AI yang membantu majikan mengenal pasti calon yang sesuai dengan lebih cepat. Platform itu menganalisis profil calon dan memadankannya dengan keperluan majikan bagi memudahkan proses saringan pekerja. Selain itu, FlipBiz turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan syarikat bagi membantu graduan mendapatkan pekerjaan. Syarikat itu juga merancang meluaskan operasinya ke Singapura, Thailand dan Filipina.


Akhir sekali, Vespid Sdn Bhd membangunkan platform pembelajaran kewangan berasaskan permainan yang membantu golongan muda meningkatkan pengetahuan dan kefahaman kewangan melalui modul interaktif serta sistem ganjaran. Syarikat itu bekerjasama dengan institusi kewangan bagi meningkatkan keterlibatan pelanggan, di samping membolehkan pengguna mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus melalui aplikasi. Dalam tempoh setahun selepas pelancarannya, Vespid berjaya menarik hampir 4,000 pengguna dan menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi dalam sektor kewangan.


Selepas menilai pembentangan kesemua finalis, panel juri turut mengumumkan pemenang bagi beberapa kategori anugerah. Zephyron memenangi kategori Inovasi Terbaik yang menawarkan hadiah bernilai RM1,000. Algae Decarbon pula memenangi kategori Pembentangan Terbaik dan Pilihan Popular dengan setiap kategori menawarkan hadiah bernilai RM1,000. Sementara itu, NCSpeech Technologies dipilih sebagai pemenang kategori Pilihan Juri yang menawarkan hadiah bernilai RM5,000.


Dalam acara yang sama, anugerah pengiktirafan inovasi turut diberikan kepada startup seperti CitySage (C22), NCSpeech Technology (C22), TEASK (C20), Stratetics Experts (C21), Silverpulse (C20), Pandai (C15) dan AquFish (C20) atas inovasi yang dibangunkan oleh syarikat masing-masing. CLLA Kohort 22 turut merekodkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM1.06 juta.