by Oh! Semput
KUALA LUMPUR, 1 Jun — RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia bagi memulakan perbincangan untuk cadangan penggabungan antara kedua-dua pihak.
Berikutan kelulusan tersebut, kedua-dua bank telah memeterai perjanjian eksklusif untuk berunding dan memuktamadkan terma dan syarat cadangan penggabungan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan.
“Perjanjian eksklusif itu akan tamat pada 30 Ogos 2017. Dijangkakan transaksi itu akan merupakan penggabungan semua saham.
“Kami yakin jika cadangan pengabungan itu berjaya, ia akan mewujudkan sinergi lebih besar untuk kumpulan perbankan yang diperbesarkan itu, memberi manfaat kepada pemegang saham, pelanggan, kakitangan dan semua pihak berkepentingan lain,” kata Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penggabungan tersebut akan mewujudkan kumpulan perbankan keempat terbesar, mewujudkan kepemimpinan skala dan pasaran di semua segmen perniagaan utamanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, babak baru dalam sejarah kumpulan AmBank berlaku pada masa tranformatif kumpulan berkenaan ketika ia bergerak semakin hampir mencapai sasaran empat teratas.
“Saya yakin yang cadangan penggabungan dengan RHB Bank akan mewujudkan kehadiran perniagaan dan kewangan yang lebih kukuh.
“Gabungan kekuatan kami dalam segmen perniagaan utama, khususnya dalam perbankan runcit dan pelaburan akan memberi petanda baik ketika kami bergerak ke depan bagi mencapai matlamat menjadi kumpulan perbankan yang disegani,” tambah beliau. — Bernama