by Oh! Semput
Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Nvidia, tidak membenarkan pesanan pelayan komputer yang mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) miliknya dihantar ke empat negara di Asia Tenggara, menurut laporan Financial Times pada Khamis.
Artikel tersebut muncul selepas Washington mengetatkan kawalan eksport bagi komponen sensitif berkenaan susulan skandal pengintipan yang melanda Nvidia, sehingga memaksa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lama, Jensen Huang, berundur sebelum beliau dilantik semula pada Ahad.
Atas alasan kebimbangan keselamatan negara, AS sejak 2022 telah menyekat eksport ke pesaing teknologinya, China, bagi cip canggih terkemuka keluaran Nvidia yang digunakan untuk melatih dan mengoperasikan peranti AI.
Washington minggu lalu bertindak menutup kelompongan dalam kawalan tersebut bagi mengekang penyeludupan cip, selain pasaran kelabu yang besar membabitkan syarikat China menyewa kuasa pengkomputeran daripada pusat data di negara ketiga, yang sering kali berada di Asia Tenggara.
Laporan Financial Times menyebut Nvidia telah mengarahkan rakan kongsi pengeluarannya supaya menghentikan penghantaran pelayan komputer kepada pembeli di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Akhbar Britain itu, yang memetik tiga individu yang mengetahui perkara tersebut, menyatakan masih tidak jelas sama ada penggantungan itu bersifat sementara.
Ia menamakan gergasi AS, Dell dan Supermicro yang memasang cip AI Nvidia ke dalam pelayan untuk pusat data, sebagai dua rakan kongsi yang terjejas.
Pembeli yang terjejas termasuk syarikat pengkomputeran awan yang berpangkalan di Singapura, Aolani, yang sebelum ini merancang menyediakan akses kepada perkakasan Nvidia itu kepada pemilik TikTok dari China, ByteDance, menerusi perjanjian pajakan, menurut Financial Times.
Seorang eksekutif di sebuah penyedia perkhidmatan awan memberitahu akhbar tersebut bahawa peraturan baharu Washington telah mencetuskan “kekacauan mutlak” di rantau ini sepanjang tempoh 90 hari bagi memohon lesen baharu yang kini diwajibkan.
AFP telah menghubungi Nvidia, Dell, Supermicro, Aolani dan ByteDance untuk mendapatkan ulasan.
Skandal Nvidia tercetus berikutan laporan mengenai hubungan sulit Huang dengan Alice Huang, bekas eksekutif di Megaspeed, sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura yang sedang disiasat atas dakwaan pemindahan cip Nvidia ke China bagi mengelak peraturan AS.
Alice Huang, yang tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Jensen, juga dilaporkan disyaki oleh beberapa pegawai AS sebagai pengintip untuk Beijing.
Pelaburan besar-besaran daripada gergasi teknologi AS dan China telah memacu lonjakan pembinaan pusat data di Asia Tenggara, khususnya di negara-negara yang mengelilingi Singapura yang mempunyai keterhubungan tinggi.
Kapasiti pusat data di Asia Tenggara diunjurkan meningkat tiga kali ganda daripada paras 2025 menjelang 2030, didorong oleh lonjakan sepuluh kali ganda dalam penggunaan AI, menurut KPMG. – AFP
{suggest}
Nvidia Dilapor Henti Penghantaran Pelayan AI Ke Malaysia, Singapura, Thailand Dan Indonesia WISER.MY.