by Oh! Semput
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam mengusir 35 diplomat Russia dan mengarahkan sekatan ke atas perkhidmatan perisikan Rusia berhubung dakwaan arahan campurtangan Moscow pada pemilihan presiden Amerika Syarikat.
Obama berkata, tindakannya itu sebagai tindak balas kepada “operasi siber” kerajaan Russia yang mensasarkan pemilihan presiden lalu, sambil menambah bahawa “semua rakyat Amerika perlu bimbang dengan tindakan Russia.”
Sekatan itu mensasarkan sembilan entiti dan individu termasuk dua perkhidmatan perisikan Rusia dan tiga syarikat yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada salah satu perkhidmatan perisikan, kata Obama dalam satu kenyataan.
Selain itu, Jabatan Negara Amerika juga mengisytiharkan “persona non grata” ke atas 35 perisik Russia. Ini bermakna mereka mesti meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam.
Ia juga mengarahkan penutupan dua kawasan Russia di Amerika Syarikat yang digunakan oleh kakitangan rakyat negara itu untuk tujuan perisikan.
Moscow dalam tindakbalas segeranya menolak dakwaan tersebut.
“Seperti yang kami katakan sebelum ini, kami percaya keputusan itu, seperti sekatan yang dikenakan adalah tidak berasas dan tidak sah dari sudut pandangan undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Tass.
– dpa
[Baca berita penuh]
Category: Semasa