Exco Pahang: Kejadian Bunuh Membabitkan Lima Sekeluarga Selasa Lalu, Mungkin Berkait Dengan Masalah Kesihatan Mental

by Oh! Semput


13
SHARES
172
VIEWS
Posted on 21 Feb 2026 16:31:53

KUANTAN: Kejadian bunuh membabitkan lima sekeluarga di Taman Cerating Damai, Selasa lalu, berkemungkinan berkait dengan masalah kesihatan mental, kata seorang Exco Pahang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan, menegaskan perkara itu memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa

“Kepada semua, kita perlu bersabar. Apa jua cabaran yang kita hadapi, marilah kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Kita boleh mendapatkan rawatan. Di bawah unit saya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta Jabatan Pembangunan Wanita sedia memberikan bantuan,” katanya dipetik portal berita Pahang Media, hari ini.

Terdahulu, Sabariah melawat waris keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri di Taman Cerating Damai, di sini.

Beliau turut menggesa komuniti setempat supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau hospital sekiranya mendapati individu menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental.

Sabariah menyifatkan kejadian itu amat menyayat hati, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku pada awal Ramadan yang sepatutnya dihayati dengan penuh makna dan keinsafan.

“Kita tentu tidak mahu tragedi seperti ini berlaku, namun apabila ia terjadi, kita mesti kekal kuat dan bersabar,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Khairul Amri Ahmad, berkata remaja lelaki berusia 15 tahun, satu-satunya saksi kejadian itu, masih trauma dan kembali tinggal bersama bapa kandungnya di Kemaman, Terengganu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam turut berkenan bertemu ahli keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa dukacita dan kecewa yang mendalam terhadap kejadian berkenaan serta menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka. #BuletinTV3

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts