Pahang Perkukuhkan Pembangunan Industri Kerbau Tenusu Menerusi Penerokaan Teknologi, Baka Berkualiti Dan Kepakaran Dari Itali

by Oh! Semput


2
SHARES
26
VIEWS
Posted on 24 Sep 2026 20:00:33

KUANTAN: Pahang memperkukuh pembangunan industri kerbau tenusu menerusi penerokaan teknologi, baka berkualiti dan pengurusan moden dari Itali.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan industri berkenaan tidak hanya tertumpu kepada pertambahan jumlah ternakan, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap aspek genetik, teknologi dan pengurusan moden.

Menurutnya, perkara itu antara fokus lawatan kerja beliau bersama delegasi Pahang ke Itali termasuk kunjungan ke Rota Guido S.R.L. di Cremona, antara syarikat yang mempunyai pengalaman dalam urusan eksport ternakan itu.

“Lawatan ini memberi tumpuan kepada usaha memahami dengan lebih dekat teknologi, sistem pengurusan dan amalan terbaik yang digunakan dalam pembangunan industri kerbau tenusu moden di Itali.

"Antara aspek yang diberi perhatian termasuk reka bentuk ladang dan kandang, kebajikan ternakan, pemakanan, pengurusan sisa, teknologi pemerahan serta sistem pengendalian dan penyejukan susu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, Wan Rosdy bersama delegasi memulakan lawatan kerja ke Itali bagi sektor penternakan dengan mengadakan kunjungan ke ladang ternakan kerbau tenusu serta kilang pemprosesan produk tenusu Azienda Agricola Tempio Di Barlotti Gianluigi di Salerno.

Pada kunjungan itu, perbincangan diadakan bagi meneroka kerjasama serta urusan perolehan 100 ekor kerbau tenusu untuk menyokong program pemerkasaan Lembah Tenusu Pahang Barat.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan negeri memperkukuh industri tenusu di Pahang secara lebih tersusun, moden dan berdaya saing di samping membuka ruang kepada peningkatan pengeluaran produk tenusu tempatan.

Menerusi hantaran itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut meneliti sama ada pendekatan dan teknologi yang digunakan di negara itu boleh disesuaikan dengan keadaan iklim serta keperluan operasi di Pahang.

Menurutnya, perkara itu termasuk aspek pengurusan ternakan, khidmat teknikal dan sokongan veterinar bagi memastikan pembangunan industri dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Pengalaman ini penting kerana kita mahu pembangunan industri kerbau tenusu di Pahang tidak hanya tertumpu kepada pertambahan jumlah ternakan, tetapi turut menekankan aspek kualiti baka, genetik, teknologi dan pengurusan moden bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dan Rota Guido S.R.L.

Wan Rosdy berkata, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada perolehan dan pembiakan kerbau tenusu baka Italian Mediterranean untuk dikembangkan di ladang AGK Dairy Fresh di Bukit Kajang, Raub.

“Kerjasama ini turut melibatkan aspek teknikal bagi menyokong pembangunan operasi penternakan

"Proses membawa masuk kerbau terpilih dari Itali ke Malaysia turut memerlukan kerjasama dari aspek teknikal, veterinar serta keperluan berkaitan eksport," katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu bukan sekadar membawa masuk baka baharu ke Pahang, tetapi yang lebih penting ialah usaha membawa masuk genetik berkualiti, pengetahuan, teknologi dan pengalaman untuk membina industri kerbau tenusu yang lebih produktif, moden serta berdaya tahan.

Wan Rosdy berkata, kerjasama berkenaan diharap dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti ternakan serta pengeluaran susu, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.

“Inilah pendekatan yang kita mahu dalam membangunkan sektor penternakan Pahang, bukan sekadar menambah bilangan ternakan, tetapi meningkatkan nilai, produktiviti dan daya saing keseluruhan industri,” katanya. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts