Kerajaan Tidak Akan Biarkan Nama Orang Asli Dieksploitasi Pihak Tidak Bertanggungjawab Teroka Dan Kuasai Tanah Secara Haram

by Oh! Semput


2
SHARES
24
VIEWS
Posted on 22 Sep 2026 20:00:24

MARAN: Kerajaan Pahang tidak akan membiarkan pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi nama Orang Asli untuk meneroka atau menguasai tanah secara haram.

"Ada individu menggunakan nama Orang Asli dan kemudian apabila tindakan diambil, kerajaan pula dituduh menindas Orang Asli.

"Kita tidak mahu penerokaan haram bermaharajalela. Kalau seorang sahaja mengambil sampai 1,000 hektar, bagaimana orang lain yang turut memerlukan tanah?" kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Syed Ibrahim berkata, tanah yang diteroka tanpa kebenaran perlu dikembalikan kepada kerajaan terlebih dahulu sebelum ditentukan kegunaan seterusnya termasuk untuk pembangunan masyarakat setempat.

Menurutnya, sebanyak 32 kampung Orang Asli sudah diwartakan manakala 32 lagi sedang melalui proses termasuk kerja ukur dan urusan tanah dengan agensi berkaitan.

Syed Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi 'Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd' (ORACO) berkata, beliau sudah ke Bera dan meminta senarai nama penduduk Orang Asli setempat disediakan bagi membolehkan tindakan susulan dibuat.

"Kita mahu tengok senarai nama orang kampung. Kalau Orang Asli Bera, biarlah Orang Asli Bera yang dapat.

"Kita tidak mahu orang dari Lipis atau Johor pula masuk. Saya masih menunggu senarai nama daripada penduduk Orang Asli setempat untuk disalurkan kepada JAKOA supaya kita boleh bantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Jengka Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi.

Pada masa sama, menurut beliau, Kerajaan Pahang akan memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan ORACO bagi menyelesaikan isu tanah serta memastikan kepentingan masyarakat Orang Asli setempat terus terpelihara.

"Kerjasama itu penting termasuk bagi mengenal pasti penduduk asal yang benar-benar layak menerima manfaat," katanya.

Sebelum ini, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, pencerobohan tanah di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera dikesan membabitkan kawasan seluas lebih 7,000 hektar, bersamaan kira-kira 9,800 padang bola sepak.

Saifullah berkata, perkara itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu bermula 14 September lalu.

Katanya, operasi berkenaan mendapati, sebahagian kawasan hutan simpan berkenaan diteroka bagi penanaman kelapa sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.

Menurutnya, pihak berkuasa turut mengesyaki kewujudan sindiket haram yang menyalah guna nama masyarakat Orang Asli bagi menjalankan kegiatan pencerobohan tanah. #HarianMetro

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts