by Oh! Semput
Sepucuk surat daripada mendiang vokalis Linkin Park, Chester Bennington yang ditujukan kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin ditemui semula selepas lebih dua dekad disimpan.
Perkara itu dikongsikan pengurus Siti, Rozi Abd Razak menerusi Threads selepas dia menemui surat berkenaan ketika sedang mengemas rumah.

Menurut Rozi, surat tersebut diterima ketika dia dan Siti menghadiri MTV Asia Awards di Bangkok, Thailand pada 2005.
“Beberapa bulan lalu, saya cerita perkara ini ketika sesi ‘live’ bersama Siti. Tiba-tiba sedang kemas-kemas, saya jumpa semula surat daripada mendiang Bennington yang diterima kira-kira 21 tahun lalu.
“Surat ini sampai ke bilik hotel saya dan Siti. Saya simpan sampai sekarang,” katanya.
Menerusi foto yang dikongsikan, surat itu ditujukan kepada “Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin” di bilik 1017.
Dalam nota ringkas tersebut, Chester meminta Siti memakai topi yang diberikan kepadanya ketika berada di atas pentas pada malam acara berkenaan.

“Kepada Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin. Harap dapat memakai topi di pentas malam ini. Terima kasih.”
Rozi menjelaskan perkongsian berkenaan sekadar mengimbau kenangan lama dan tidak mempunyai tujuan lain.
Pada MTV Asia Awards 2005, Siti memenangi kategori Favourite Artiste Malaysia selain turut membuat persembahan dan diperkenalkan sebagai “Voice of Asia”.
Penemuan surat tersebut turut mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan netizen yang tertanya-tanya sama ada Siti sempat memakai topi berkenaan seperti diminta Chester.
Bagaimanapun, setakat perkongsian itu dibuat, Rozi belum memberikan jawapan terhadap pertanyaan tersebut di ruangan komen.
Chester yang terkenal sebagai vokalis utama kumpulan rock Amerika Syarikat, Linkin Park meninggal dunia pada 2017 ketika berusia 41 tahun. Kumpulan itu terkenal menerusi beberapa lagu termasuk In the End, Numb dan What I’ve Done.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Surat Chester Bennington Kepada Siti Nurhaliza Ditemui Semula Selepas 21 Tahun first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.