by Oh! Semput
Jenama perkakasan dan akseosri gaming terkemuka Razer baru-baru ini telah memperkenalkan penawaran gaming terbaru mereka, iaitu pembesar suara Razer Mako X, iaitu sebuah sistem pembesar suara padat yang hadir dengan dua satelit yang menawarkan pengalaman audio yang sangat merdu sekali.

Dari segi luarannya, Razer Mako X hadir dengan rekaan dua satelit bersaiz padat yang menggunakan pemandu audio bersaiz 2.75 inci dengan penggunaan kuasa RMS 30W, dan boleh mencecah 45W untuk membolehkan pembesar suara ini tampil mendengarkan audio yang lantang dimana pengguna tidak perlu risau ianya akan rosak dengan cepat.

Walaupun rekaan pembesar suara Razer Mako X ini kelihatan seperti setup pembesar suara 2.0 yang biasa, Razer mengatakan bahawa mereka menggunakan teknologi perisian yang sama seperti apa yang ditawarkan pada fon kepala mereka untuk menawarkan pengguna pengalaman audio 7.1 secara maya.

Ini bermakna bahawa sekiranya anda memainkan permainan-permainan komputer yang menggunakan pengesanan proksimiti melalui audio ataupun menonton filem yang menyokong fungsi audio surround sound, anda boleh memanfaatkan fungsi-fungsi tersebut dengan pembesar suara ini.
Kedudukan pemandu pembesar suara pada sudut 40 darjah dari permukaan rata juga memberinya kedudukan yang baik untuk memantulkan bunyi kepada persekitaran bilik atau kawasan gaming anda untuk memberi efek surround sound tersebut.

Dari segi sambungan audio pula, Razer Mako X hadir dengan pilihan sambungan menerusi kabel USB Type-C, kabel audio 3.5mm dan juga sambungan nirwayar Bluetooth 5.3 untuk kemudahan pengguna. Ia juga tampil dengan sokongan sistem pencahayaan RGB Razer Chroma yang boleh diubahsuai menerusi perisian Razer Synapse.

Dalam pada itu, Razer turut memperkenalkan pembesar suara Razer Mako, yang mana perbezaannya ialah Razer Mako hadir dengan pembesar suara sub-woofer dengan pemandu bersaiz 3.5 inci untuk memberi kualiti audio yang lebih mendalam lagi,
Razer Malaysia mengatakan bahawa Razer Mako X akan ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM449 bermula pada bulan Oktober 2026, manakala Razer Mako pula akan ditawarkan pada bulan Disember 2026 pada harga yang akan ditetapkan kelak.
: Razer