Pakar Ekonomi Jangka 2017 Jadi Tahun Lebih Baik Untuk Malaysia

by Oh! Semput


3
SHARES
42
VIEWS
Posted on 02 Nov 2016 14:00:38

Pakar Ekonomi

PETALING JAYA, 2 Nov — Pakar ekonomi melihat perdagangan dunia akan diunjurkan lebih rancak pada 2017 dan ini boleh membantu Malaysia mengekalkan momentum ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Profesor Ekonomi, Fakulti Perniagaan, Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata pemulihan ekonomi Amerika Syarikat merupakan faktor utama yang akan memacu perdagangan dunia sekali gus akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Pakar ekonomi ini berkata keanjalan atau tindak balas dan kebergantungan Malaysia ke atas perdagangan global adalah sangat tinggi, walaupun perubahan satu peratus dalam nilai perdagangan global, ia akan memberi kesan ketara kepada Malaysia, yang mencatatkan lebihan eksport sejak November 1997.

“Berdasarkan pertumbuhan konsisten dengan unjuran empat peratus yang akan dicapai pada tahun-tahun akan datang, kita sewajarnya mampu berada dalam kumpulan negara berpendapatan tinggi,” katanya semasa mengadakan pembentangan di sesi Ulasan Pasca Bajet Institut Rehda 2017 di sini, hari ini.

Kerajaan, melalui beberapa program transformasi yang dilancarkan sebelum ini, menyasarkan untuk membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita US$15,000.

Bagaimanapun, menurut laporan 2015 Bank Dunia, pendapatan per kapita bagi kumpulan negara berpendapatan tinggi adalah pada paras US$12,476.

Sementara itu, mengenai Bajet 2017, Yeah berkata ia disediakan bagi memenuhi beberapa keperluan negara, terutama melibatkan kawalan perbelanjaan kerajaan dan menggalakkan minat rakyat membeli rumah melalui langkah mengimbangkan semula sektor hartanah dengan memberi tumpuan kepada kediaman mampu milik.

“Peruntukan untuk sektor perumahan tidak terlalu tinggi dan perbelanjaan kerajaan lebih tertumpu terutamanya kepada pembekalan rumah mampu milik.

“Harga rumah masih meningkat, walaupun tidak terlalu ketara. Sudah tiba masa untuk pemaju perumahan swasta melakukan pelarasan dengan menumpukan kepada pembinaan perumahan mampu milik,” katanya.

Mengenai inflasi, Yeah berkata Indeks Harga Pengguna pada September 2016 susut kepada 1.5 peratus.

“Ia merupakan aliran menurun namun kini meningkat sedikit demi sedikit khususnya dengan (harga) bahan api dan beberapa barangan lain yang disemak semula menaik.

“Adalah penting untuk kerajaan benar-benar melihat bagaimana pelarasan harga akan memberi kesan kepada keseluruhan kos sara hidup di Malaysia,” katanya.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts