Pandang Pertama Vivo X500 Pro Max – Premium Dan Berkuasa

by Oh! Semput


4
SHARES
47
VIEWS
Posted on 25 Sep 2026 10:30:41

Label Pro Max kini sinonim dengan telefon pintar premium. Vivo mengikuti langkah ini dengan memperkenalkan X500 Pro Max sebagai model utama dalam siri X500. Dari reka bentuk hingga kamera, vivo dilihat terus cuba bersaing dalam kategori mewah. Ini artikel pandang pertama saya untuk peranti ini sebelum ulasan penuh dapat dibuat.


Apa yang baharu kali ini memang ketara. Jika sebelum ini vivo hanya memperkenalkan X300 dan X300 Pro, kali ini mereka hadir dengan tiga model iaitu X500, X500 Pro dan X500 Pro Max. Saya berpeluang menghadiri pelancaran di Shanghai baru-baru ini dan mencuba peranti ini lebih awal.

Daripada pengalaman singkat itu, jelas siri X500 bukan sekadar naik taraf kecil. Fokus besar diberikan pada kamera, khususnya rakaman video yang lebih profesional. Ketiga-tiga model sudah pun tersenarai dalam SIRIM yang turut memberi harapan besar untuk pasaran Malaysia. Vivo turut mengesahkan pelancaran rasmi siri X500 pada Oktober 2026, meskipun tarikh tepat masih belum diumumkan.

Sebagai pengguna X300 Pro dan X300 Ultra sebelum ini, beralih kepada X500 Pro Max memang terasa berbeza. Vivo kali ini menggunakan sensor Sony Lytia 910 dengan teknologi LOFIC yang mampu menghasilkan gambar lebih seimbang dengan bayang masih jelas. Perbezaan ini nyata berbanding model terdahulu dan menjadikan pengalaman kamera lebih meyakinkan.

Namun, kerana ini sekadar pandang pertama saya tidak akan menghuraikan secara terlalu mendalam dengan ulasan penuh akan dikongsi kemudian. Daripada cubaan ringkas, jelas vivo berusaha membawa pengalaman penggambaran mudah alih ke tahap lebih tinggi. Gabungan lensa ZEISS dengan sistem telefoto 200MP turut memberikan hasil imej yang lebih meyakinkan berbanding sebelumnya.

Warna pada kamera X500 Pro Max kelihatan lebih hidup dengan ketajaman imej yang semakin baik, terutama ketika melakukan zum. Julat dinamik terasa lebih luas sekaligus menjadikan peningkatan ini berbaloi jika kamera menjadi keutamaan. Rakaman malam juga lebih kemas dengan hingar yang berkurangan. Walaupun proses pasca rakaman masih sedikit perlahan, sistem autofokus terasa pantas dan responsif. Saya juga mudah menyesuaikan diri dengan sistem palet kerana konsepnya sama seperti pada model Ultra.

Lensa telefoto 200MP ZEISS digunakan hadir dengan sensor 1/1.4 inci lengkap dengan penstabilan terbina serta tetapan lalai 85mm. Ia menawarkan kira-kira 3.5x zum optikal yang praktikal, dan boleh mencecah sehingga 10x zum hibrid melalui sensor 50MP dan 25MP. Namun apabila diuji sehingga 100x, hasil rakaman mula kehilangan ketajaman dengan warna yang berubah seakan cat air.

Lensa ZEISS Telephoto Extender Gen 2 Ultra 400mm pada X500 Pro Max turut menambah keupayaan zum. Dengan gabungan ini, jarak zum boleh mencecah sehingga 8,100mm tetapi pada tahap itu ia sekadar zum digital. Dalam penggunaan sebenar, zum sekitar 1,600mm masih memberi hasil yang baik, manakala pada 3,200mm ia masih boleh digunakan walaupun agak sukar mengekalkan kestabilan. Jika melepasi julat tersebut, imej mula kehilangan butiran dan kualitinya menurun.

Sistem penstabilan imej berfungsi dengan baik tetapi pada zum ekstrem sedikit pergerakan pun boleh menyebabkan subjek hilang daripada bingkai. Dalam keadaan sebegini, penggunaan tripod amat membantu untuk memastikan rakaman lebih stabil dan konsisten.


Reka bentuk X500 Pro Max masih mudah dikenali kerana mengekalkan identiti siri X yang sinonim dengan jenama ini. Modul kamera bulat di bahagian belakang mengingatkan kepada model terdahulu sekaligus menunjukkan vivo mahu mengekalkan kesinambungan gaya sebagai tanda pengenalan. Dari satu sisi ia memberi rasa konsisten dan mudah dikenali, tetapi dari sisi lain kurang segar kerana penjenamaan Pro Max biasanya dikaitkan dengan sesuatu yang lebih baharu.

Pujian masih bolejh diberikan kepada X500 Pro Max kerana modul kameranya kini lebih kompak dengan lampu kilat berbentuk bulat. Vivo mengekalkan kemasan dua tona yang sudah lama menjadi identiti siri ini tetapi kali ini garis pemisah kelihatan lebih kemas dan peralihan warna nampak moden. Modul kamera yang lebih kecil turut membantu menjadikan keseluruhan reka bentuk lebih rapi. Susunan butang dan port kekal seperti biasa, dengan tambahan satu butang akses khusus di sebelah kiri iaitu ciri yang sebelum ini hanya hadir pada siri X Fold.

Pengalaman memegang X500 Pro Max terasa premium dengan binaan rapi dan kemasan teliti yang mengekalkan aura eksklusif walaupun reka bentuk tidak banyak berubah. Skrin AMOLED 6.85 inici memberi paparan terang dan lancar sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan. Kadar segar semula 144Hz pula lebih kepada mengekalkan standard mercu berbanding menawarkan kejutan baharu. Sepanjang penggunaan awal, sistem berjalan stabil tanpa gangguan ketara.

Tunjang utama X500 Pro Max ialah cip Mediatek Dimensity 9600 Pro. Ia dibina berasaskan teknologi 2nm. Peranti ini juga antara yang terawal di dunia menggunakan cip tersebut. Secara teori, teknologi 2nm sepatutnya mampu memberi kelebihan pada prestasi dan kecekapan tenaga. Dalam ujian awal, cip ini terasa pantas dan stabil namun pengalaman sebenar masih bergantung pada penyesuaian perisian serta pengurusan haba. Buat masa ini, terlalu awal untuk menilai kestabilan jangka panjang.


X500 Pro Max menggunakan OriginOS 7, iaitu antara muka baharu yang menekankan kelancaran jangka panjang, animasi lebih lancar serta integrasi AI merentas peranti. Ia juga hadir dengan Origin Smooth Engine yang menjanjikan prestasi stabil sehingga enam tahun, Ultra Core Computing untuk mempercepatkan aplikasi serta Memory Fusion bagi mengoptimumkan RAM dan storan.

OriginOS 7 juga membawa animasi berasaskan fizik dengan gaya paparan Liquid Glass serta Dynamic Glow yang memberi kesan lebih moden. Sokongan multi tugas melalui Origin Workbench membolehkan sehingga lima aplikasi aktif serentak, manakala Jovi AI berfungsi sebagai agen pintar merentas telefon, tablet dan PC dengan kawalan keselamatan tambahan melalui Jovi Security.


Bateri 7800mAh pada X500 Pro Max jelas memberi kelebihan berbanding X300 Ultra yang hanya 6400mAh. Kapasiti ini cukup untuk penggunaan seharian, bergantung pada corak penggunaan. Pengecasan berwayar 100W boleh dianggap menarik dan pantas berdasarkan pengalaman sebelum ini, manakala sokongan nirwayar 90W menambah nilai premium pada peranti. Meskipun begitu, pengecasan nirwayar tersebut mungkin lebih kepada bonus kerana tidak semua pengguna akan memanfaatkannya.


Pengalaman awal dengan X500 Pro Max memberi rasa meyakinkan kerana peningkatan nyata dapat dirasakan. Namun, sebagai penggunaan awal, perkongsian ini masih terhad kepada pemerhatian ringkas. Aspek lain seperti prestasi jangka panjang, ketahanan bateri dan hasil kamera dalam pelbagai situasi masih perlu diuji sebelum kesimpulan penuh dapat dibuat.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts