Pra-tempahan Sonos Beam Ultra Dibuka Dengan Harga RM4199 – Jualan Bermula 29 September Ini

by Oh! Semput


4
SHARES
50
VIEWS
Posted on 24 Sep 2026 14:00:39

Jika anda mengikuti perkembangan dunia audio pengguna, Sonos, jenama perkakasan audio premium baru-baru ini telah melancarkan pembesar suara premium kelas pertengahan terbaru mereka, iaitu Sonos Beam Ultra, dan ia bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Sonos Beam Ultra dilihat mengekalkan rekaan dan saiz yang menyerupai pembesar suara Sonos Beam 2 yang dilancarkan pada tahun 2021, tetapi telah membuat beberapa perbezaan yang cukup ketara. Pertamanya ialah penggunaan sistem satelit audio 7.1.2 dengan sembilan pemandu audio terbina didalamnya, termasuklah dua yang hadir dengan sudut pemancaran audio yang menghala keatas untuk memberikan olahan audio dengan sound stage yang lebih luas dengan kualiti seakan-akan anda sedang mendengar persembahan secara langsung.

Pembesar suara ini juga boleh digabungkan dengan semua penawaran pembesar suara Sonos lain melalui teknologi Sonos Fabric, iaitu teknologi perisian dan sambungan rangkaian yang membolehkan penawaran-penawaran moden Sonos seperti Sonos Arc Ultra, Sonos Roam, Sonos Play, Sonos Era 100/300 dan juga fon kepala Sonos Ace Ultra untuk disambungkan secara satu sama lain melalui rangkaian WiFi.

Malah, dengan Sonos Fabric, Sonos Beam Ultra boleh disambungkan ke pembesar-pembesar suara lain seperti Sonos Play, Sonos Roam dan sebagainya untuk mengembangkan kemampuan olahan audio stereo sekeliling supaya olahan audio adalah benar-benar di sekeliling anda.

Dengan pelancaran pembesar suara ini, Sonos juga memperlihatkan pengenalan sistem operasi terbaru mereka yang dinamakan Sonos 27. Selain daripada menjadi pusat kepada fungsi dan ciri-ciri teknologi Sonos dan juga cara produk-produk Sonos boleh dikemaskini dengan teknologi perisian terbaru, Sonos 27 juga tampil dengan sokongan untuk teknologi kecerdasan buatan.

Salah satu daripada ciri yang diperkenalkan ialah teknologi 27mcp, iaitu sebuah plugin yang boleh dimuatkan kedalam model-model bahasaraya popular pada peranti pintar ataupun komputer riba anda untuk membolehkan anda menggunakan kawalan Sonos melalui input pada LLM. Fungsi ini masih lagi berada dalam fasa ujian buat masa ini, akan tetapi pihak Sonos mengatakan bahawa ia boleh digunakan dengan mudah melalui model bahasaraya AI seperti Claude, ChatGPT, Google Gemini dan sebagainya.

Setelah plugin tersebut dipasang, anda boleh menggunakan LLM melalui input teks ataupun suara untuk meminta pembesar suara Sonos memainkan lagu, menjedakan lagu, mengubah tahap kelantangan audio dan sebagainya. Buat masa ini, platform penstriman yang disokong termasuklah Apple Music dan Spotify yang boleh disambungkan kepada akaun Sonos pengguna.

Pra-tempahan untuk Sonos Beam sudahpun dibuka hari ini pada harga RM4199 melalui laman web TC Acoustic dan hadir dalam pilihan warna hitam dan putih. Pembesar suara ini akan mula dijual secara terbuka pada 29 September ini.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts