by Oh! Semput
Beberapa bulan lalu, kami telah melaporkan tentang isu berkenaan bekalan komponen papan litar yang menghadapi masalah kerana penutupan pusat pemprosesan bahan di Arab Saudi kerana isu peperangan pada masa itu. Terkini, walaupun ia nampaknya bahawa pusat-pusat ini telah kembali beroperasi, ia telah dilaporkan bahawa isu bekalan papan litar ini dijangka akan berterusan lagi kerana permintaan oleh sektor kecerdasan buatan.
Komponen papan litar merupakan asas kepada banyak komponen-komponen perkomputeran lain seperti cip pemprosesan, papan induk, memori, storan, dan sebagainya. Dan kebanyakan pengeluar-pengeluar komponen papan litar nampaknya telah terikat dengan kontrak untuk menghasilkan papan litar untuk syarikat-syarikat AI terlebih dahulu.
Laporan Nikkei Asia mengatakan bahawa pesanan untuk membangunkan papan litar kini boleh mengambil masa sehingga 30 bulan untuk disiapkan kerana fokus pengeluaran adalah untuk papan litar buat komponen-komponen AI, yang juga memerlukan bahan-bahan lain seperti tembaga dan juga gentian kaca yang banyak untuk menghasilkannya.

Perkara ini dilihat memberi kesan buruk terhadap sektor-sektor teknologi yang lain, khususnya untuk industri perkakasan dan kelengkapan elektronik pengguna yang juga memerlukan komponen-komponen ini untuk membina produk-produk dan perkhidmatan mereka.
Beberapa syarikat pengeluar peranti di Taiwan juga telah mengatakan bahawa salah satu komponen dalam binaan papan litar, iaitu copper-clad laminates (CCLs) telah meningkat sebanyak 12 kali sejak Julai 2026 kerana permintaan yang sangat tinggi oleh sektor AI dan juga kos bahan yang semakin meningkat.
Ini, bersama-sama dengan laporan kami sebelum ini tentang SK Hynix mengatakan bahawa bekalan komponen memori akan kekal mahal untuk 1-2 tahun akan datang memberi gambaran bahawa harga komponen komputer dan juga binaan komputer akan menjadi semakin mahal dalam masa terdekat ini.