Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) Gesa Kerajaan Tidak Hukum Masyarakat Orang Asli Secara Kolektif, Buru Dalang Penerokaan Tasik Bera

by Oh! Semput


2
SHARES
29
VIEWS
Posted on 24 Sep 2026 20:00:37

BERA: Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) menggesa kerajaan  tidak menghukum masyarakat orang asli secara kolektif berhubung isu penerokaan Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasik Bera, sebaliknya menumpukan siasatan terhadap dalang yang didakwa menggerakkan penerokaan berskala besar.

ASLI berkata, isu Tasik Bera tidak wajar dilihat semata-mata sebagai kes pencerobohan tanah, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks sejarah penempatan dan kehidupan masyarakat Orang Asli Semelai yang telah bergantung kepada kawasan berkenaan sejak turun-temurun.

“ASLI tidak mempertahankan mana-mana aktiviti penerokaan haram sekiranya benar terbukti berlaku. Namun sekiranya wujud sindiket, dalang atau pihak berkepentingan yang menggunakan nama arang asli untuk memperoleh keuntungan daripada pembukaan tanah secara besar-besaran, mereka mesti disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

ASLI turut mempersoalkan siapakah pihak yang membiayai kegiatan berkenaan, mengurus pembangunan kawasan serta menikmati hasil tanaman komersial sekiranya benar penerokaan berlaku secara besar-besaran.

“Siapakah dalang yang dimaksudkan? Jika benar ribuan hektar kawasan telah diteroka secara haram selama bertahun-tahun, siapakah yang membiayai operasi tersebut?

“Siapakah yang menguruskan pembangunan kawasan berkenaan dan siapakah yang menikmati hasil keuntungan daripada tanaman komersial tersebut?” katanya.

Kenyataan itu selari dengan perkembangan siasatan pihak berkuasa apabila Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) sebelum ini memaklumkan lebih 7,000 hektar HSK Tasik Bera disyaki diteroka secara haram untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.

UPNP turut mengesyaki wujud sindiket dari luar Pahang yang mempergunakan masyarakat Orang Asli untuk membuka kawasan tanah secara besar-besaran atas alasan tanah adat dan kawasan rayau.

Menurut ASLI, masyarakat Orang Asli tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan secara kolektif sebelum siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan.

Pertubuhan itu turut membangkitkan persoalan berhubung status tanah dan kawasan penempatan Orang Asli yang menurutnya masih belum diselesaikan secara tuntas selepas berpuluh-puluh tahun.

“Bagaimana sebuah komuniti yang telah lama mendiami kawasan tersebut masih berdepan ketidakpastian mengenai status hak tanah yang menjadi sumber kehidupan mereka?.

“Mengapa proses pewartaan tanah dan penempatan Orang Asli masih gagal diselesaikan secara tuntas selepas sekian lama?” soalnya.

Sehubungan itu, ASLI mencadangkan siasatan bebas dan telus terhadap dakwaan penerokaan berskala besar, mengenal pasti serta mendedahkan dalang sekiranya wujud, selain mempercepat proses pemetaan, pengesahan kawasan dan pewartaan tanah Orang Asli.

ASLI turut mencadangkan moratorium terhadap tindakan yang boleh menjejaskan penempatan sedia ada dan kegiatan ekonomi masyarakat Orang Asli sehingga status tanah diperjelaskan.

Selain itu, sebuah jawatankuasa khas membabitkan Kerajaan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pemimpin adat Orang Asli, pakar tanah dan pertubuhan masyarakat sivil dicadangkan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

Dalam pada itu, ASLI menegaskan usaha melindungi alam sekitar dan hak Orang Asli tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bercanggah.

“Perlindungan alam sekitar dan perlindungan hak Orang Asli bukanlah dua matlamat yang saling bercanggah.

“Sebaliknya, Tasik Bera mesti menjadi titik permulaan kepada penyelesaian yang berani, adil dan berkekalan,” katanya.

Tasik Bera diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994 kerana kepentingan ekologi dan biodiversitinya, manakala Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts