MARAN: Empat individu termasuk pemandu dan penumpang sebuah bas yang membawa 19 pelajar dan dua guru Tahfiz Allaudin Bandar Pusat Jengka mengalami kecederaan selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Besar Jengka 18 di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah treler Volvo dan sebuah bas kira-kira jam 6.15 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati treler berkenaan dalam perjalanan dari arah Kampung Awah menghala ke Bandar Jengka sebelum terbabas dan gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan.
“Bas yang datang dari arah Bandar Jengka menghala ke Kampung Awah tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri treler berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, empat individu terdiri daripada pemandu dan penumpang bas mengalami luka ringan selepas terkena serpihan kaca, manakala penumpang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kim Wai berkata, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Beliau menambah, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaan sehingga berlaku perlanggaran.
Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan tersebut supaya tampil menyalurkan maklumat.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Maran, Sarjan Nuralisa Mohamad di talian 011-62262479 atau hadir ke balai polis yang berhampiran,” katanya. #SinarHarian
http://www.pahangdaily.blogspot.com